Sukan

Wilayah Persekutuan hantar atlet berpotensi sumbang pingat Sukma 21

ZALIHA (tengah) ketika sesi lawatan ke gimnasium MSWP di Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 29 Disember 2023 10:30 AM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WiPers) menyasarkan untuk menghantar atlet yang berpotensi menyumbang pingat dalam Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata langkah tersebut diambil memandangkan kontinjen menghadapi cabaran dari sudut logistik berikutan faktor jarak venue sukan yang dianjurkan.

“Kontinjen menghadapi cabaran dari aspek logistik, kewangan dan pengurusan berikutan penganjuran acara sukan ini melibatkan sembilan bahagian di Sarawak.

“WiPers akan memberi keutamaan dengan menyenaraikan hanya atlet yang berpotensi akan dibawa ke sana berbanding penyertaan temasya pada tahun 2022 yang lalu kita telah menghantar 593 atlet dengan 105 jurulatih yang telah menyertai kesemua 31 jenis sukan serta dua sukan demonstrasi iaitu silambam dan kabadi,” katanya sambil menambah seramai 500 atlet dalam persiapan menghadapi SUKMA.

Beliau berkata demikian selepas Lawatan ke Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) di Putrajaya baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Pembangunan) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Ramlee Yatim dan Pengerusi MSWP, Datuk Mohd Nasir Ali.

Menurut Zaliha pihak MSWP menjangkakan tidak akan menghantar atlet untuk kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan dalam temasya itu nanti dan mengharapkan pemilihan atlet akan mengambil kira aspek kualiti berbanding kuantiti.

“Insya-Allah setakat ini saya memberi harapan kepada MSWP melalui pengerusi baharu dan saya harap kita dapat melihat satu pembaharuan dari sudut pencapaian dan selaku menteri saya akan memberikan sokongan sepenuhnya,” kata beliau.

Zaliha berkata kemudahan gimnasium yang disediakan untuk keperluan latihan atlet MSWP baik dan berteknologi sekali gus dapat membantu dari sudut perkembangan atlet.

“Cumanya mungkin kita berdepan dengan kekangan antaranya atlet kita tidak diletakkan satu tempat kerana ada yang tinggal dan menetap di Selangor. Jadi masalah logistik itu akan memberi kesan namun saya yakin kita akan merancang dengan lebih baik.

“Kekangan yang saya nampak lagi adalah kita perlu melibatkan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dan Labuan, ini ada sedikit menyumbang kepada kekangan kewangan. Justeru saya yakin dengan peneraju baharu, beliau akan berusaha untuk menambah baik perkara yang boleh dilaksanakan untuk kemajuan atlet dan sukan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Zaliha mendengar taklimat mengenai perkembangan MSWP yang disampaikan Pengarahnya, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Salleh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas