MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa melancarkan inisiatif Waste To Wealth di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Inisiatif ini merupakan salah satu komponen di bawah kluster Sejahtera @ WP yang diperkenalkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan bagi melonjakkan ekonomi, mereformasi dan menstrukturkan semula ekonomi serta menempatkan Wilayah Persekutuan khusus sebagai hab serantau sekali gus menyokong kepada kemampanan ekonomi negara.
Zaliha berkata inisiatif tersebut sebagai bukti mempromosi pengurusan sisa dan kitar semula, demi Kuala Lumpur yang hijau dan lestari.
“Antara inisiatif di bawah Waste To Wealth ialah program 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R) di mana merupakan satu program berkonsepkan sistem barter bagi komuniti untuk menukar barang kitar semula kepada barangan keperluan harian,” katanya.
Beliau berkata demikan selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Waste To Wealth Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh.
Tambah Zaliha, program itu dilaksanakan melalui tiga kaedah iaitu, 1C1R Bergerak yang diadakan pada setiap hujung minggu), Kios 1C1R iaitu kios kitar semula statik dan Pembayaran Sewa Rumah Perumahan Awam (PA)/ Projek Perumahan Rakyat (PPR) DBKL terpilh melalui tukaran barang kitar semula.
“Di seluruh Kuala Lumpur kita ada 12 pusat kitar semula bagi menggalakkan wargaa kota kumpul sisa pepejal dan kitar semula.
“Difahamkan juga DBKL membelanjakan kira-kira RM230 juta setahun bagi menghapuskan sisa pepejal yang dibuang berjumlah 2,300 tan sehari.
“Angka amat besar tetapi diharapkan dengan inisiatif ini kita dapat galakkan penduduk kitar semula dan mencapai bandar Kuala Lumpur bersih, di samping kelestarian alam ditingkatkan,” jelasnya.
Zaliha berkata di samping itu, penduduk juga boleh mengumpul mata bagi setiap barang dikitar semula dan ditukarkan bagi barangan keperluan harian.
Pada majlis yang sama, turut diadakan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara DBKL dan FatHopes Energy Sdn Bhd bagi memastikan inisiatif Waste To Wealth melalui Program 1C1R dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.
Melalui MoU ini, pihak syarikat akan bersama-sama menganjurkan program alam sekitar terutamanya Program 1C1R menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka. – WILAYAHKU