Atlet Wilayah

Wassof bersiap gali emas, mahu julang nama WiPers

AKSI Wassof (kiri) dalam Kejohanan S New Power Muay Thai
- Diterbit 29 Julai 2024 4:32 PM MYT

BIARPUN baru berusia 20 tahun namun atlet Wilayah Persekutuan (WiPers), Wassof Rumijam, berazam mahu mencipta kejayaan unggul di peringkat negara mahupun antarabangsa.

Menurut atlet muda itu, minat dalam sukan Muay Thai menjadikannya lebih bersemangat ditambah pula dengan dorongan kaum keluarga yang tidak ­putus-putus memberikan galakan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Beralih kepada perkembangan terbaharunya, Wassof mengakui sedang giat menjalani latihan untuk mempersiapkan diri menjelang Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

“Pelbagai persiapan telah dilakukan dan saya berharap dapat rangkul pingat emas untuk Wilayah Persekutuan dalam SUKMA 2024 di Sarawak. Saya akan buat yang terbaik, insya-Allah.

“Sukan Muay Thai bukanlah satu sukan yang mudah, tanpa kekuatan fizikal dan mental seseorang pemain tersebut tidak mampu beraksi dengan cemerlang,” ujar anak keempat daripada lima orang adik-beradik itu.

Selain itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibnu Khaldun itu memberitahu dia menjadikan atlet Muay Thai dari Thailand, Sangamanee sebagai idolanya kerana kekuatan mental yang terdapat pada lelaki tersebut.

“Setiap kali perlawanan, dia akan bermain dengan sangat tenang dan tidak terburu-buru, dia juga merupakan atlet yang sangat peramah dan menghormati orang sekeliling dan pihak lawan. Itu yang membuatkan saya kagum dan bercita-cita untuk menjadi sepertinya satu hari nanti,” kongsinya kepada Wilayahku.

Ingin menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa seperti mana yang pernah dilakukan idolanya, Wassof tekad untuk terus fokus dan memberikan yang terbaik dalam sukan yang diceburinya sejak berusia enam tahun itu.

“Harapan saya dalam sukan Muay Thai ini sangat tinggi kerana saya mahu pergi ke tahap yang lebih tinggi lagi bukan sahaja dalam SUKMA tetapi juga di peringkat antarabangsa,” ujarnya yang telah berkecimpung selama 14 tahun dalam sukan Muay Thai.

Di samping itu, atlet kelahiran Selangor itu berkata sebagai seorang atlet, segala cabaran, kecederaan serta kesukaran dialami harus diketepikan sebaik kaki menapak di gelanggang dan wajib digantikan dengan semangat juang yang tinggi.

“Cabaran paling utama adalah kerana sukan ini memerlukan atlet berlawan dengan diri sendiri secara individu untuk mengutip mata yang memerlukan. Selain itu, kita harus rajin berusaha memperbaiki prestasi persembahan di gelanggang permainan,” tambahnya latihan berterusan sangat penting untuk meningkatkan teknik dan ilmu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas