Berita

Waspada muat turun fail APK – PDRM

- Diterbit 4 Jun 2024 1:35 PM MYT

 

ORANG ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak memuat turun sebarang fail aplikasi (APK) yang diterima melalui mesej, emel dan seumpanyanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata penggodaman telefon pintar adalah modus operandi yang sering digunakan penjenayah untuk tujuan mencuri data, mengakses maklumat kewangan dan sebagainya.

“Antara taktik yang dikesan masih digunakan sejak pertengan tahun 2023 adalah penyebaran mesej jemputan perkahwinan melalui fail aplikasi (APK) yang bersamanya ditanam ‘perisian hasad’ atau ‘malware’.

“Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mesej jemputan perkahwinan tersebut biasanya akan dihantar oleh penjenayah yang menyamar sebagai kenalan mamgsa.

“Sekiranya mangsa memuat turun dan memasang aplikasi tersebut, penjenayah akan memperoleh akses penuh terhadap telefon mangsa tanpa disedari,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, akses tersebut akan membolehkan penjenayah untuk mencuri data milik mangsa malahan boleh mengakibatkan mangsa mengalami kerugian wang ringgit.

Tegas Ramli, PDRM percaya taktik itu menyasarkan mangsa dalam kalangan individu yang kurang pengetahuan berkaitan teknologi.

“Justeru, adalah dinasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak memuat turun sebarang fail aplikasi (APK) yang diterima melalui mesej, emel dan seumpanya.

“Sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hanyalah dilakukan melalui platfom yang selamat seperti Google Play dan App Store sahaja,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas