Berita

Warisan seni Mek Mulung

MEK Mulung merupakan warisan budaya turun-temurun sejak zaman Kedah Tua.
- Diterbit 4 November 2024 2:56 PM MYT

BAGI menyemarakkan lagi kesenian Mek Mulung yang tersenarai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Memerlukan Perlindungan Segera, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) menganjurkan Program Lestari Budaya: Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mek Mulung Putera Cahaya Bulan Siri 1 baru-baru ini.

JKKN berkata tujuan pementasan ini diadakan adalah untuk melestarikan kesenian tradisional yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO.

“Ini bagi menyemarakkan seni teater tradisional Mek Mulung, memelihara dan memperkasa warisan budaya Melayu, menyediakan platform kepada penggiat seni untuk mempersembahkan bakat mereka serta menggalakkan penyelidikan dan kajian lanjut mengenai teater tradisional Mek Mulung.

“Ia juga adalah usaha untuk menyemarakkan kesenian tersebut kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada dalam bentuk keilmuan atau siri-siri pementasan,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya pementasan pada kali ini memaparkan pergolakan kisah Putera Cahaya Bulan, Puteri Nang Mara dan Raja Gergasi.

“Perjalanan kisah mereka yang pasti mengusik emosi penonton hasil garapan pengarahan oleh Mohd Yusuf Azizan dan antara artis yang terlibat adalah Saiful Wazein Mohamad Jelani, Shamsul Nadia Zullkifli, Hairi Safwan, Che Mat Raja Lawak, Din Latah, Kumpulan Kesenian JKKN, Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus Kedah.

“JKKN menjalin kerjasama strategik bersama UiTM Shah Alam menganjurkan simposium sebagai batu loncatan untuk membicarakan secara akademik kesenian Mek Mulung dalam kalangan pendidik dan pelajar dalam bidang seni budaya.

“Antara objektif pelaksanaan adalah untuk melihat masa depan kesenian Mek Mulung meniti arus pembangunan dan kemodenan negara, menilai tahap kefahaman dan penghayatan masyarakat untuk terus memelihara kesenian Mek Mulung.

“Simposium ini menghimpunkan pembentang kertas kerja daripada pentadbir budaya, karyawan seni, ahli akademik dan penggiat seni yang mengupas dan membicarakan tentang kesenian Mek Mulung,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas