WARIS iaitu suami dan anak kepada wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin, 41, yang meninggal dunia di London pada Disember tahun lalu, layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, semakan rekod caruman mendapati, arwah pernah berkhidmat di tujuh syarikat berbeza sejak Disember 2002.
“Sehubungan itu, suami arwah iaitu Mohd Roshdi Ramli layak mendapat faedah PERKESO untuk sepanjang hayat.
“Manakala, dua anaknya diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.
“Berdasarkan rekod caruman PERKESO milik arwah, pihak kami mendapati keluarganya layak untuk menerima bayaran berkala Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,975.00 setiap bulan dan FPM sebanyak RM2,000 secara sekali bayar menerusi Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya ketika mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris di Ampang, Selangor.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet.
Terdahulu, industri kewartawanan tanah air bersedih dengan pemergian Allahyarham Siti Norhafiza atau Fiza yang meninggal dunia di London ketika bercuti akibat pendarahan otak.
Allahyarham dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London ketika menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti selama dua minggu pada pertengahan Disember tahun lalu.
Percutian itu merupakan hajat terakhir arwah bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

Arwah juga merupakan bekas pesakit kanser payudara, namun sel barah dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.
Pemergian wartawan hiburan berkenaan turut mendapat perhatian rakyat Malaysia yang menderma melalui tabung Bantulah Fiza.
Sumbangan derma daripada artis, media dan orang ramai ini disalurkan melalui Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di mana sebanyak RM50,000 disampaikan kepada waris.
Ia bagi membiayai kos membawa pulang jenazah ke tanah air, Sabtu lalu. – WILAYAHKU