SEDIH dan risau dengan warganet yang selalu ‘berperang’, mencaci,maki dan menjatuhkan maruah orang dalam laman sosial, Pak Nil tampil membuat teguran melalui lagu terbaharunya berjudul Apo.
Pak Nil atau nama sebenarnya Datuk Aznil Nawawi muncul dengan lagu tersebut atas dasar tanggungjawab sosialnya demi melihat situasi negatif buli siber ini tidak terus berleluasa.

“Lagu ini lahir lebih kepada tanggungjawab. Tambahan pula hal buli siber ini terus bermaharajela hingga kini apabila dunia media sosial tiada kawalan.
“Warganet dan juga wira papan kekunci bebas melontarkan kata kata nista dan kecaman. Begitu juga hal seperti ejekan tubuh, rasis, mempersenda agama, politik dan macam macam lagi.
“InsyaAllah saya juga berharap lagu ini dapat membuka mata mana-mana agensi berkaitan atau kementerian untuk menjalinkan kerjasama dalam usaha mengangkat isu buli siber,” katanya yang turut menulis lirik untuk lagu ini.

Lagu ciptaan Archie Nasution dan Reza Ramsay ini diterbitkan atas inisiatif sendiri menerusi Yayasan Pesona (milik Pak Nil) bersama Scifi Record dan Sony Music.
Menggigil Kerana Raja Permaisuri Agong
Apa yang menarik, tular baru-baru ini apabila Pak Nil menggigil apabila bercakap sendiri melalui telefon dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pak Nil menghubungi Raja Permaisuri Agong pada 4 Jun lalu bagi meminta kebenaran memuatkan lirik nama akaun Twitter Raja Permaisuri Agong, di bawah nama Che Minah Sayang yang pernah digunakan Baginda sebelum ini.
“Selepas mendapat balasan (di Instagram) nombor untuk dihubungi, saya menelefon Raja Permaisuri Agong. Malah ia turut dilakukan dengan cara protokol menulis surat dan memohon perkenan dalam Istana Negara. Alhamdulillah Raja Permaisuri Agong sendiri secara peribadi mengizinkannya.
“Saya sendiri punyalah gementar sampai menggigil gigil sebab nak bercakap dengan Baginda dalam telefon. Bayangkan boleh kejap tersasul bahasakan diri sebagai patik… kejap saya,” luahnya yang pernah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (Kategori Pengacara Paling Lama Berkhidmat). – WILAYAHKU