SEORANG penjual karpet warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan mengabaikan dan bertindak secara cuai membiarkan anak berusia 12 tahun memandu kereta sehingga boleh mendatangkan kecederaan fizikal.
Bagaimanapun, beliau yang juga pemegang kad pemastautin tetap (MyPR) mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan dikemukakan dihadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Julai lalu di Taman Putra Impiana, Puchong pada 7.30 petang, 28 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) akta yang sama memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahin Sasaruddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Nabilla Rosli.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin menawarkan agar mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000.
Bagaimanapun, Nabilla membantahnya dan meminta mempertimbangkan jumlah itu kerana tertuduh hanya bekerja sebagai penjual karpet dan merupakan penanggung tunggal keluarganya.
“Anak guam adalah warga Pakistan yang berstatus PR Malaysia mempunyai lima anak berusia enam hingga 19 tahun yang kesemuanya masih sekolah.
“Isteri yang juga warga Malaysia adalah suri rumah dan anak guam peniaga karpet kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM3,000,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim, Ahmad Fuad membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan dikehendaki melaporkan diri setiap bulan di balai polis terdekat dan tidak boleh mendekati saksi kes.
Tarikh sebutan semula kes pada 4 September.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.
Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan. – WILAYAHKU