Berita

Warga Malaysia bekerja di Singapura, Brunei: Gaji lumayan, peluang kerja lebih baik

- Diterbit 25 Oktober 2024 10:28 AM MYT

FAKTOR utama penghijrahan warga Malaysia yang bekerja di Singapura dan Brunei adalah peluang pekerjaan lebih baik di samping gaji lumayan.

Perkara itu dinyatakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan pada Februari lalu.

Ia termasuk persekitaran kerja lebih kondusif serta kadar pertukaran mata wang yang tinggi.

Malah menurut kementerian itu, berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertajuk ‘UN In Malaysia Country Results Report 2020’, kira-kira 1.86 juta rakyat Malaysia tinggal di luar negara, menyumbang kira-kira 5.6 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

“Daripada diaspora ini, sebahagian besar, kira-kira 1.13 juta atau 60 peratus diaspora Malaysia menetap di Singapura.

“Bagi menangani dan membendung migrasi rakyat terutamanya ke luar negara adalah penting untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi dan mata wang kita sendiri, dan yang paling penting, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di dalam negara kepada rakyat Malaysia yang berkebolehan dan berkemahiran,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai pendekatan kerajaan terhadap aspek migrasi pekerja tempatan khususnya di Singapura.

KESUMA menambah, mengambil petunjuk daripada contoh yang berjaya dari negara lain, Malaysia perlu memastikan jurang antara penawaran dan permintaan bakat ditangani dan ketidakpadanan dikurangkan.

Justeru tegasnya, secara semula jadi, gaji akan meningkat bersama dengan faedah ekonomi yang lain.

“Bagi mencapai aspirasi ini, KESUMA melalui TalentCorp terus mempergiat usaha agar pihak industri, akademia dan kerajaan antaranya Kementerian Ekonomi; Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri serta Kementerian Dalam Negeri bersatu di bawah platform yang tersusun dan mampan melalui inisiatif seperti MYXpats dan Xpats Gateway,” katanya.

Disamping itu, KESUMA telah mengadakan program turun padang ke sekolah serta berkongsi dengan pelajar sekolah menengah terutamanya tentang pekerjaan dalam permintaan berdasarkan Senarai Pekerjaan Kritikal (MyCOL).

Kerajaan katanya, turut menyarankan pelajar Institut Pengajian Tinggi menyertai latihan amali Program Latihan Berstruktur Kebangsaan (MySIP) untuk menjadikan mereka tenaga kerja sedia industri di mana empat daripada 10 pelatih industri mendapat pekerjaan pertama mereka dengan majikan yang melatih mereka.

Selain itu jelasnya, usaha untuk menghimpunkan industri dan akademia melalui inisiatif Industry-Academia Collaboration (IAC) dipergiatkan bagi mencari titik penyelesaian isu tenaga kerja.

“Dalam masa yang sama MyMahir-Future Skills Talent Council (FSTC) ditubuhkan bagi membantu menangani ketidakpadanan kemahiran yang berlaku dalam pekerjaan serta penyediaan pekerjaan pada masa hadapan.

“KESUMA menerusi TalentCorp turut memberi sokongan melalui Karnival Kerjaya dan Pemudahcaraan MyHeart, pameran kerjaya maya yang khas untuk syarikat Malaysia menawarkan pekerjaan kepada diaspora profesional yang mahir.

“Antara syarikat yang telah mengambil bahagian termasuk PwC Malaysia, Shell, Ernst & Young dan Bank Negara Malaysia,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas