Berita

Warga KL melebihi 8.8 juta orang

- Diterbit 6 Ogos 2024 5:24 PM MYT

KUALA Lumpur kini menampung populasi yang dianggarkan melebihi 8.8 juta orang dengan peningkatan sebanyak 2.25 peratus (%) berbanding tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata populasi ini dijangka akan terus bertambah mencecah 9.8 juta menjelang tahun 2030.

“Pertumbuhan populasi ini bukan sahaja melibatkan peningkatan semula jadi dalam kawasan bandar, malah juga migrasi masuk yang tinggi dari luar bandar.

“Ini memberikan satu tekanan kepada infrastruktur sedia ada dan menuntut supaya kita menyediakan satu perkhidmatan asas yang lebih baik buat semua warga kota agar Kuala Lumpur ini menjadi sebuah bandar yang berdaya huni.

“Tidak dilupakan juga, isu-isu seperti pencemaran udara dan kekurangan ruang hijau turut menjadi antara kebimbangan utama yang perlu diatasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Panduan Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Menara DBKL 1, di sini, hari ini.

Zaliha berkata dalam menghadapi semua cabaran ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu terus peka dengan keperluan dan kehendak semasa pembangunan di Kuala Lumpur.

“Dalam usaha ini saya difahamkan DBKL telahpun melaksanakan pelbagai inisiatif yang lebih proaktif seperti penyediaan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 dan Pelan Tindakan Iklim Kuala Lumpur 2050.

“DBKL juga telah menghasilkan satu Panduan Teknik Bangunan Rendah Karbon Kuala Lumpur hasil kerjasama dengan rakan strategik antarabangsa iaitu C40 Cities Climate Leadership Group.

“Ini juga secara tidak langsung menunjukkan usaha kita untuk mencapai pembangunan yang lebih lestari,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas