WARGA Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Labuan diseru untuk terus meningkatkan persefahaman dalam melaksanakan sebarang visi jabatan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Julina Johan dengan persefahaman dan kebersamaan dalam melaksanakan tugas mampu membawa impak yang positif kepada jabatan.
“Persefahaman dan kebersamaan dalam melaksanakan visi akan mendorong sinergi yang baik sekaligus boleh memberi sumbangan yang besar kepada jabatan dalam mencapai apa jua misi serta visi yang ditetapkan.
“Tanpa kerjasama semua kakitangan agak sukar untuk kita melaksanakan sebarang program atau tugasan dengan jayanya,”katanya ketika mengadakan perjumpaan dengan kakitangan JAPEN Labuan di sini, baru-baru ini.
Beliau yang dalam rangka lawatan kerja ke Labuan turut menyeru kepada JAPEN Labuan untuk meneruskan kecemerlangan yang dipamerkan pada tahun 2024.
“Tingkatkan prestasi kerja dengan memberi perkhidmatan yang terbaik secara berterusan selari dengan hasrat Perdana Menteri yang ingin melihat penjawat awam dapat meningkatkan produktiviti kerja dari masa ke masa.
“Saya harap JAPEN Labuan turut meneruskan kerjasama dengan pemegang taruh seperti agensi kerajaan dan Komuniti Madani bagi menjadi pemudah cara yang efektif sekaligus meningkatkan imej jabatan,”jelasnya lagi.
Pada lawatan kerja itu Julina turut menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap Kerja-kerja Penyelenggaraan dan Pembaikan di Kompleks Kementerian Komunikasi Wilayah Persekutuan Labuan kelolaan Jabatan Kerja Raya Labuan.
Hadir sama Pengarah Kanan (Pengurusan), JAPEN Naim Fahmi Ahmad Tajuddin, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Dan Pembangunan Masyarakat, JAPEN Muhammad Najmi Mustapha dan Pengarah JAPEN Labuan, Azman Sipan. – WILAYAHKU