SUSULAN hujan lebat yang berlarutan lebih satu jam petang tadi, empat kejadian banjir kilat dan dua kes pokok tumbang berlaku di enam lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Menurut laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, kejadian banjir kilat berlaku di Taman Sri Rampai, Jalan Hang Lekiu, Jalan Segambut dan Jalan Keramat.
“Di Sri Rampai, banjir kilat surut sebaik jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 6.06 petang manakala di Jalan Hang Lekiu, banjir kilat yang berlaku adalah setinggi 1 kaki dan di Jalan Segambut setinggi 3 kaki.
“Bagi kejadian banjir kilat di Jalan Keramat, dua wanita yang merupakan warga emas terkandas di dalam rumah. Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan turut memaklumkan bahawa usaha-usaha menebang pokok tumbang dilakukan Jalan Damansara dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air panas.
Tambahnya, tiada mangsa terlibat dalam kedua-dua kejadian tersebut. – WILAYAHKU
