SEMPENA menyambut perayaan Krismas dan memasuki Tahun 2025, Persatuan Masyarakat Satu Khemah mengambil inisiatif membantu golongan B40 di Bandar Tun Razak (BTR).
Pengerusi Persatuan Masyarakat Satu Khemah, Jonathan Vela berkata seramai 220 warga komuniti termasuk kanak-kanak dan dewasa menerima sumbangan bakul makanan dan duit raya.
“Seramai 60 kanak-kanak dan 160 dewasa daripada golongan B40 menerima sumbangan. Nilai bakul makanan RM150 dan setiap kanak-kanak diberi duit raya RM50.
“Bakul makanan tersebut boleh meringankan perbelanjaan mereka selama dua minggu khususnya sempena menyambut Krismas dan memasuki Tahun Baru,” katanya dalam Majlis The Best Christmas, Children Celebration pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Jonathan yang juga
Naib Ketua Cabang Keadilan Bandar Tun Razak berkata, bantuan tersebut juga diberikan kepada penduduk kawasan itu yang tidak menerimanya pada Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali.
Beliau berkata ini bagi memastikan semua penduduk Bandar Tun Razak tidak tercicir daripada menerima bantuan khususnya daripada golongan B40.
“Ini program kali ke-10. Setiap tahun kita anjurkan program ini dan diharap tahun depan akan dapat beri bantuan yang lebih banyak kepada penduduk di sini,” katanya.
Menurut Jonathan, bantuan disampaikan oleh wakil Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan.
Katanya, bantuan itu turut disumbangkan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin yang juga Ketua Cabang Keadilan Bandar Tun Razak. – WILAYAHKU