SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar Datuk disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.
Ia membabitkan permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia yang bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Perintah reman selama enam hari sehingga 17 November ini dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 40-an yang merupakan warganegara Bangladesh itu ditahan kira-kira pukul 9 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun lalu dengan mengemukakan dua permohonan kuota melibatkan seramai 600 pekerja asing oleh syarikat berkenaan sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan tidak wujud.
“Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi kira-kira RM650,000 dan RM460,000,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU