Berita

‘Waran tangkap’ dari Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia palsu

- Diterbit 31 Januari 2024 6:41 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) nafi kewujudan ‘waran tangkap’ yang kononnya dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata difahamkan ‘waran tangkap’ tersebut dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.

“Menurut dokumen tersebut, satu arahan telah dikeluarkan kepada PDRM untuk mengambil tindakan segera bagi menahan pesalah-pesalah serta kesalahan-kesalahan yang dinamakan dalam tempoh 24 jam.

“Isi kandungan ‘waran tangkap’ berkenaan juga menyatakan Mahkamah Tinggi telah memberi kuasa kepada PDRM untuk melaksanakan arahan tersebut.

“Pesalah yang ditahan juga tidak dibenarkan untuk diikat jamin oleh mana-mana pihak termasuk peguam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Rohaimi, antara kandungan lain termasuk aset-aset yang didaftarkan di atas nama pesalah juga akan dibekukan dan disita malah pesalah juga tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara Malaysia setelah tindakan diambil ke atasnya.

Rohaimi memaklumkan ‘waran tangkap’ tersebut adalah palsu dan merupakan salah satu elemen scam.

“Jabatan ini tidak pernah menerima ‘waran tangkap’ sedemikian.

“Walaubagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, semua pihak adalah diingatkan untuk tidak menuruti sebarang arahan yang diterima melalui ‘waran tangkap’ tersebut serta individu yang tidak dikenali. Ini adalah salah satu elemen scam,” jelasnya.

Menurut beliau, sebagai langkah pencegahan orang ramai adalah dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada penerimaan sebarang dokumen yang tidak dipastikan kesahihannya.

“Lakukan semakan dengan agensi yang berkaitan sebelum sebarang keputusan diambil.

“Pertanyaan ataupun pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi baharu penipuan, orang ramai bolehlah menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 013- 211 1222,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas