Selebriti

Wany Hasrita menangis tengok anak senyum

- Diterbit 24 November 2023 1:30 AM MYT

PENYANYI popular Wany Hasrita atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, mengakui banyak perbezaan setelah bergelar seorang ibu kepada Aishah Al Iman hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Mohd Al-Adib Fahmi Harun.

Ujarnya, tumpuan dan keutamaan mereka kini adalah kepada cahaya mata sulung yang kini berusia lima bulan.

“Memang sangat berbeza kehidupan sebelum dan selepas bergelar ibu. Sekarang saya dalam fasa menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.

“Terkadang bila tengok Aishah senyum, terus hilang semua rasa penat lelah lebih-lebih lagi buat masa ini saya masih berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak.

“Saya agak sibuk memenuhi tanggungjawab dalam kerjaya seni di samping menjalankan tugas sebagai isteri dan juga ibu. Walau bagaimanapun mungkin pada masa depan saya bercadang untuk terus menetap di Kuching bersama suami dan anak. Namun, jika ada tuntutan kerja, saya akan terbang balik ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang perkembangan seninya, Wany baru sahaja muncul dengan lagu terbaharu berjudul Cinta Hati.

“Apa yang istimewa, Aishah turut terlibat dalam video muzik lagu tersebut. Saya sangat berterima kasih pada suami yang dikasihi kerana memahami dan mengizinkan penglibatan Aishah dalam muzik video Cinta Hatiku.

“Aishah masih terlalu kecil, jadi saya perlu meminta persetujuan suami dulu. Alhamdulillah dikurniakan suami yang penyayang serta memahami tuntutan kerjaya seni.

“Dalam masa yang sama, saya juga tak lupa peminat yang sentiasa menyokong karier walaupun kini telah menjadi isteri dan ibu. Bergelar ibu, membuatkan saya lebih menghargai ibu saya yang selama ini telah banyak bekorban,” ujarnya yang terasa sebak apabila melihat anaknya tersenyum. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas