WANITA UMNO Putrajaya tetap berdiri teguh bersama Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Malah, Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya, Husna Abdul Rahaman turut menyifatkan Tengku Adnan sebagai seorang yang cukup matang dan berpengalaman luas dalam bidang politik.
“Segala tindakan dan buah fikiran beliau sangat profesional. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Nan juga sentiasa memberi pendapat bernas dan baik demi agama, bangsa dan negara,” katanya kepada Wilayahku.
Menurut Husna, setiap buah fikiran mahupun kenyataan yang dikeluarkan Ku Nan adalah berdasarkan fakta serta hasil penelitian mendalam berhubung sesuatu perkara dan isu.
“Beliau juga tidak bercakap kosong. Jadi bagi kami, biar angin mengoncang mahupun ribut melanda, kami tetap teguh bersama ketua kami.
“Kita dapat lihat parti seperti Perikatan Nasional (PN) yang memerlukan buah fikiran Ku Nan selain turut menghormati pandangan yang diberikan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Husna turut berpendapat, pucuk pimpinan tertinggi parti di dalam PN perlu bersemuka dan menyelesaikan masalah yang sedang berlaku. – SURAYA ALI – WILAYAHKU