KEPENTINGAN bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat sudah tidak dapat disangkal lagi.
Justeru, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata usaha meningkatkan celik digital dan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk belia wanita perlu dipergiatkan bagi memastikan golongan itu lebih berdaya saing dan seharusnya melihat bagaimana kerangka teknologi berkenaan dapat membantu dari sudut pekerjaan, pencarian ilmu serta untuk kegunaan harian.
“Kemajuan pesat dalam teknologi memerlukan mereka mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan berkaitan untuk bersedia menghadapi pasaran pekerjaan masa hadapan.
“Dalam konteks ini, menyokong penglibatan wanita dalam bidang STEM perlu dipertingkatkan bagi memperbaiki jurang antara lelaki dan wanita dalam bidang berkenaan yang seterusnya dapat membantu memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
“Apabila kita menggalakkan mereka untuk meneruskan pendidikan dan kerjaya dalam STEM, kita juga melabur untuk masa depan negara.
“Kajian menunjukkan bahawa mempunyai perwakilan wanita yang kuat cenderung untuk menjadi lebih inovatif dan mencatatkan prestasi lebih baik dari segi kewangan,” katanya dalam ucapan perasmian di Forum Girls In ICT (GICT) 2024 pada Khamis.
Beliau berkata GICT 2024 anjuran pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berfungsi sebagai platform penting dengan menghimpunkan wanita yang berjaya daripada pelbagai industri untuk berkongsi pengalaman serta kisah kejayaan mereka dalam ekosistem ICT dan kepimpinan wanita.
“Forum yang menarik seramai 300 orang peserta termasuk peneraju industri, tetamu dan penuntut universiti itu adalah sebahagian daripada inisiatif MCMC sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang memfokuskan kepada celik huruf, pemerkasaan sosial dan memperluas peluang dalam landskap teknologi Malaysia.
“Bertemakan Kepimpinan, GICT 2024 menumpukan kepada memperkasakan belia wanita dalam sektor ICT dengan menonjolkan model peranan wanita yang berjaya dan membincangkan strategi untuk menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman teknologi.
“Agenda forum ini menampilkan empat sesi dialog yang menumpukan kepada bidang seperti celik digital dan perkembangan kerjaya ICT belia wanita, kepentingan bimbingan dan rangkaian dalam kemajuan kerjaya, menangani cabaran jantina dalam industri teknologi serta impak sosial dan ekonomi ICT,” ujarnya.
NADI perkasa rakyat
Berdasarkan laporan tahun lepas, Nie Ching berkata beberapa negara seperti Iceland, Belanda dan Amerika Syarikat (AS) sudah mencapai kemajuan ketara mempromosikan wanita dalam STEM.
“Iceland diiktiraf sebagai negara utama memperjuangkan wanita dalam STEM iaitu dengan menawarkan purata gaji tertinggi merentas semua peranan pekerjaan manakala Belanda berada pada kedudukan kedua yang menyaksikan peranan STEM tersedia bagi setiap 1,000 orang pekerja wanita.
“Iceland mempunyai inisiatif pendidikan yang menggalakkan belia wanita menyambung pengajian dalam STEM sekali gus menyumbang kepada peratusan graduan wanita yang agak tinggi iaitu sebanyak 35 peratus. Belanda pula mempunyai purata gaji wanita yang tinggi dengan 29 peratus tenaga kerja wanita di negara ini berkait dengan STEM.
“Di samping itu, Amerika Syarikat (AS) mempunyai antara purata gaji wanita tertinggi. Penyelidikan mendedahkan bahawa 34 peratus lulusan STEM terdiri wanita dan 34 peratus berkaitan dengan bidang STEM. Ini berikutan AS mempunyai dasar peringkat persekutuan dan negeri yang menggalakkan kesaksamaan jantina dalam pendidikan,” ujarnya.
Berdasarkan contoh-contoh ini, beliau berkata pihak MCMC memainkan peranan penting dalam kemajuan teknologi dan digital melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
“Misi NADI adalah untuk memperkasakan rakyat Malaysia terutama di kawasan luar bandar dengan meningkatkan celik digital dan menyokong perniagaan dalam talian di peringkat tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dalam ucapan alu-aluannya berkata agensi itu komited untuk memastikan semua pihak tanpa mengira jantina mendapatkan akses kepada pengetahuan serta kemahiran digital untuk membentuk masa depan ICT.
“Antara inisiatif tersebut adalah melalui Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) yang mana ia menumpukan kepada pemerkasaan sosial, menyediakan peluang dan bimbingan. Inisiatif ini memperkasakan ahlinya untuk menjadi pemimpin digital tempatan dan terlibat secara aktif dengan komuniti tempatan bagi meningkatkan perkembangan celik digital dalam kalangan rakyat Malaysia.
“MIV membantu merapatkan jurang jantina dalam teknologi. MIV telah mengambil dan melatih lebih 11,000 sukarelawan sejak pelancaran program ini pada 2016,” ujarnya.
Seterusnya, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee pula berkata amat penting bagi wanita khususnya golongan muda terlibat dalam landskap digital lebih-lebih dengan akses Internet yang ada pada era globalisasi ini.
“Nasihat saya kepada wanita agar terus menggunakan Internet, kekal ingin tahu, terus bersemangat dalam menimba ilmu dan mengikuti perkembangan terkini serta mahir dalam menggunakan AI. Ini kerana AI mungkin tidak akan mengambil alih pekerjaan kita, tetapi orang yang tahu bagaimana menggunakan AI akan berbuat demikian.
“Dengan kuasa Internet dan hak akses yang sama rata, mereka boleh menggunakan Internet untuk belajar dan mendapatkan maklumat. Kunci kepada penggunaan AI bukanlah terletak pada kemahiran teknikal yang mendalam untuk membangunkan AI, tetapi lebih pada kemahiran dalam menggunakan alat AI seperti ChatGPT dan Gemini,” ujarnya.