AHLI Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyeru masyarakat untuk menginsafi diri serta memperingati golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Katanya, bulan Ramadan mengajar umat Islam mengenai erti kesabaran,
keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan menerusi program untuk menyantuni masyarakat.
“Program sebegini bukan sahaja menjadi platform untuk kita sama-sama menyantuni masyarakat, malah secara tidak langsung
dapat mengeratkan silaturahim sesama kita sebagai satu komuniti di Bandar Tun Razak ini.
“Aktiviti gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk ini mengembalikan nostalgia amalan tradisi yang penuh dengan nilai murni dan semangat kekeluargaan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sumbangan Kasih MADANI dan Pengagihan Bubur Lambuk di Surau Al-Mustaqimah, Taman Jaya, hari ini.
Beliau turut berharap sumbangan kecil yang disalurkan sedikit sebanyak mampu meringankan beban sahabat-sahabat kita yang memerlukan dan memberi kegembiraan buat mereka menyambut lebaran yang bakal menjelang
“Program sebegini bukan sahaja menjadi platform untuk menyantuni masyarakat, tetapi juga mengukuhkan semangat silaturahim. Aktiviti gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk menghidupkan kembali tradisi yang penuh nilai murni,” katanya.
Beliau turut menyeru umat Islam untuk melipatgandakan amalan kebaikan dan ibadah khususnya di 10 malam terakhir Ramadan yang bakal berakhir.
“Berbaki beberapa hari sahaja lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, saya menyeru kepada diri saya dan semua yang hadir, marilah kita melipatgandakan amalan kebaikan dan ibadah untuk bersama-sama mengejar ganjaran pahala di bulan yang mulia ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan yang membantu menjayakan program tersebut dan berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan bagi memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam masyarakat.-WILAYAHKU