Berita

Wan Azizah gesa khidmat kaunseling diberi kepada mangsa letupan bunga api

WAN AZIZAH (empat dari kanan) bersama ibu dan anak- anak Allahyarham Helmi.
- Diterbit 3 Januari 2024 4:01 PM MYT

AHLI Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta pihak terlibat menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa cedera dalam kejadian letupan bunga api di salah sebuah pusat peranginan terkemuka di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad lepas.

Beliau berkata, khidmat kaunseling itu perlu diberikan susulan mangsa cedera, Muhammad Pahzdlei Zulkifli, 39, masih trauma.

“Saya minta pihak berkenaan untuk memberi khidmat kaunseling kepada mangsa memandangkan dia masih trauma melihat abang kandung, Muhd Helmi Zulkifli, 40, meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

WAN AZIZAH (kanan) menyantuni ibu mangsa kejadian letupan bunga api, Milikiyah di rumahnya, hari ini.

“Maklumat terkini yang saya terima, keluarganya ada menghubungi Pahzdlei tetapi perbualan itu hanya sementara.

“Mangsa dikatakan telah pun discaj daripada hospital namun enggan pulang lagi ke rumah kerana masih trauma dengan kejadian yang berlaku,” katanya.

Perkara itu dikongsikan Wan Azizah kepada media ketika meluangkan masa kira-kira setengah jam menziarahi keluarga mangsa terlibat di rumahnya di Taman Seri Perindu, Cheras, hari ini.

Pada sesi lawatan itu, waris keluarga telah menerima sumbangan wang tunai one-off, bakul makanan dan kotak prihatin daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Sumbangan tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Bandar Tun Razak.

Menurut Azizah, mangsa yang maut adalah bapa tunggal kepada tiga orang anak iaitu Muhd Iman Shah (6 tahun), Muhd Rykal Shah (7 tahun) dan Muhd Amirul Shah (15 tahun).

Dalam pada itu, Azizah menyeru seluruh masyarakat mengambil iktibar akan kejadian yang berlaku dan meminta semua pihak melihat aspek risiko dan kemungkinan yang akan berlaku jika mengendalikan bahan api.

Terdahulu, Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengahari pada Ahad lepas, kedua-dua mangsa yang merupakan adik-beradik adalah pekerja teknikal di syarikat pemasangan bunga api yang ditugaskan untuk memasang bunga api bagi pertunjukan sempena malam ambang tahun baru 2024.

Semasa memasukkan belerang, secara tiba-tiba empat biji bunga api tersebut menyala dan meletup.

Ekoran kejadian itu, abangnya (Muhd Helmi) meninggal dunia manakala adik (Pahzdlei) cedera parah dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan akibat terkena serpihan bahan bunga api yang meletup. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas