“WALAUPUN seringgit, ia amat bermakna buat anak-anak tahfiz,” kata pelakon Putra Amaris.
Putra Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail, 39, ditemui dalam Program Kongsi Rezeki: Tahfiz berselawat 2025 yang berlangsung di Warung Pagi Pagi Federal Hill, pada Sabtu.

Program bersama SoftRein ini bertujuan untuk membantu mengumpul dana bagi pembangunan infrastruktur institusi tahfiz yang menempatkan anak-anak tahfiz di sekitar Kuala Lumpur khususnya Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah, Keramat.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah program Tahfiz Berselawat hari ini dengan luar biasa sekali. Sebelum bermula program pun, anak-anak tahfiz menunaikan solat Hajat.
“Majlis hari ini selain sama-sama kita berselawat, kami turut meneruskan pengumpulan dana untuk Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah. Apa yang kita peroleh hari ini terus disumbangkan kepada mereka.
“Kalau ikut, memanglah ada sasaran jumlah dana tertentu yang kami target untuk mereka, tetapi kami terima seikhlas hati berapa pun orang sumbang. Kami sangat hargai.
“Bagi mereka yang tak berkesempatan datang pun, mereka masih boleh berinfaq menerusi akaun yang kami sediakan.
“Usaha ini akan diteruskan di Restoran Saloma Kuala Lumpur pada 22 Mac ini. Kami alu-alukan semua termasuk artis-artis, influencer untuk kita sama-sama bantu mereka,” katanya.
Bagi Amaris, usaha murni ini tidak hanya dijalankan di bulan Ramadan, malah akan diteruskan sehingga ke akhir tahun.
“Selain anak-anak tahfiz, kami juga akan membantu anak-anak sakit kanser bawah pantauan kami. Mereka perlukan susu, pampers dan banyak lagi.
“Kami juga tak lupa anak-anak yatim dan gelandangan yang memerlukan bantuan berterusan bukan hanya dalam bulan Ramadan sahaja. Insya Allah, dengan team Kongsi Rezeki sekarang kami teruskan usaha ini sampai hujung tahun.
“Bukan itu sahaja, kami juga menganjurkan program Kembara Sahur di mana kami akan sampaikan barangan keperluan asas dan wang tunai kepada keluarga-keluarga yang telah dikenalpasti amat memerlukan.
“Memang kesusahan atau kesukaran hidup itu cabaran buat mereka, tetapi sebenarnya itu juga ujian buat kita semua,” ujarnya.

Dengan tema ‘putih bersih’, program buka puasa amal bersama generasi Al-Quran yang diberi tajuk Tahfiz Berselawat ini juga bertujuan menyatukan komuniti untuk beramal dan menyokong anak-anak tahfiz dari pelbagai sudut.
“Program ini adalah sebahagian daripada usaha murni kami dengan kerjasama dari Warung Pagi Pagi, Softrein, Bateriku.com dan Bigo Live untuk menjalankan tanggungjawab sosial serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan yang penuh berkat ini.
“Dengan penampilan khas dari Kumpulan Raihan menjadikan program ini sesuatu yang bukan sahaja sekadar menyemarakkan bulan Ramadan tetapi akan memberi impak yang besar bagi jiwa jiwa yang merindukan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Insya Allah, kami akan menghimpunkan seramai 100 orang anak-anak Tahfiz sekitar Kuala Lumpur di Saloma, pada 22 Mac ini.
“Kami mengharapkan sokongan dari semua pihak, termasuk individu, komuniti, dan syarikat korporat, untuk bersama-sama menjayakan inisiatif ini,” ujarnya.
Dalam Majlis Tahfiz Berselawat yang akan diadakan di Saloma Kuala Lumpur, sebanyak 30 meja untuk dijual dan hasil penjualan akan disalurkan terus ke Maahad Tahfiz dan sebahagian akan diinfaqkan kepada Pesakit Kanser Kanak-Kanak, Adina Charity Circle.
Bagi mereka yang ingin berinfaq kepada anak-anak generasi AlQuran ini boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB : 8602008531 (Maahad Tahfiz Al Quran Misbahul Falah). – WILAYAHKU