Berita

Wajah persis bintang Bollywood, ramai keliru antara Mimi Ernida & Reen Rahim

- Diterbit 20 Januari 2025 11:18 AM MYT

WAJAH mereka yang kelihatan seiras membuat ada peminat yang terkeliru hingga gagal membezakan antara pelakon Mimi Ernida dan Reen Rahim.

Lantaran sering berhadapan situasi itu, Mimi dan Reen seakan lali dengan kesilapan dilakukan peminat.

Hingga ada yang beranggapan mereka berdua mempunyai pertalian darah.

Bersahabat baik, foto perkongsian terbaharu Mimi dan Reen di laman sosial Instagram dan TikTok masing-masing beberapa hari lalu meraih perhatian.

ADA peminat yang terkeliru hingga gagal membezakan antara pelakon Mimi Ernida dan Reen Rahim.

Foto mereka di Instagram meraih lebih 16,000 tanda suka manakala perkongsian di akaun TikTok mendapat lebih 620,000 tontonan.

Menurut Mimi, amai terkeliru antara dirinya dan Reen.

“Ramai sangat yang keliru antara kami berdua. Kalau saya buat siaran langsung di TikTok, penonton mula memanggil saya Reen Rahim, begitu juga komen di video.

“Saya juga pernah dipanggil Reen ketika terserempak dengan peminat di luar yang mahu mengambil gambar bersama,” kata Mimi.

Saling mengenali sejak sembilan tahun lalu, Mimi mendedahkan mereka tidak pernah bergandingan dalam mana-mana karya seni.

“Kali pertama kami berjumpa 2016. Sampai sekarang kami baik. Walaupun jarang jumpa dan tidak pernah berlakon dalam satu naskhah yang sama, saya tahu Reen adalah kawan yang selalu ada untuk saya.

“Setiap kali berjumpa pasti ada macam-macam cerita yang kami kongsikan,” kata Mimi lagi.

Sementara itu Reen pula menambah, biarpun ramai yang tersilap membezakan mereka berdua tetapi katanya mereka ada perbezaan yang ketara.

“Ramai peminat keliru antara saya dah Mimi. Tapi sebenarnya, kami berbeza.

“Mungkin ada beberapa bahagian wajah nampak seiras, tapi tona kulit Mimi lebih cerah berbanding saya. Mimi lebih manis, sedangkan saya pahit,” selorohnya sambil ketawa.

Reen turut mengakui dia selesa berkawan dengan Mimi dan berkongsi pelbagai cerita.

“Sejak saling berkenalan, kami terus serasi. Kami tak selalu berjumpa tapi setiap kali bertemu, memang kami sering berkongsi perkembangan seperti teman baik.

“Kami bercerita hal kehidupan, kerjaya, bisnes dan banyak lagi. Saya boleh katakan Mimi memang kawan yang baik,” katanya lagi.

Disebabkan keakraban itu, merkea kini sedang merancang kolaborasi istimewa iaitu kempen She Rise.

Kempen yang bakal dilancarkan pada 31 Januari itu bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada wanita kepentingan menjaga kesihatan dalam dan luaran, selain peluang menjana pendapatan.

Kempen She Rise bakal menggabungkan jenama CYoung Glowing, produk kecantikan pelbagai manfaat oleh Mimi dan Qu’ Yus Premium Coffee, produk organik untuk membantu mengawal selera makan yang diusahakan oleh Reen.

“Insya-Allah, kami bakal muncul dengan kolaborasi istimewa yang bermatlamat untuk menzahirkan versi terbaik diri secara dalaman dan luaran.

“Memandangkan kami berdua kini sedang berjinak dalam bidang bisnes, kami mahu membantu wanita di luar sana menjana pendapatan.

“Kami mungkin dua individu berbeza, tapi hasrat dan misi kami sama. Mahu membantu ramai orang di luar sana, terutamanya wanita. Nantikan pengumuman istimewa kami di platform media sosial masing-masing Insya-Allah,” kata Mimi.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas