Artikel

Wajah baharu premis

Foto: BERNAMA
- Diterbit 23 Oktober 2024 12:28 PM MYT

TEMPAT cantik‚ persekitaran bersih tersusun‚ makanan sedap dan layanan mesra antara ciri utama peniaga menarik pelanggan ke gerai mereka. Kerana itu penampilan pusat penjaja di ibu kota perlu ditambah baik. Lebih ramai pelanggan datang‚ pendapatan peniaga meningkat.

Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur‚ yang dilaksanakan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah antara inisiatif kerajaan menaik taraf dan mengindahkan kemudahan gerai peniaga kecil dan penjaja di sekitar ibu kota.

Dengan pelaksanaan program ini‚ gerai menjadi lebih selesa dan mesra pelanggan. Kawan-kawan Kedai Kopi percaya pelaksanaannya dapat membantu peniaga beroperasi dalam suasana dan persekitaran lebih kondusif.

Ternyata peniaga di beberapa premis niaga ibu kota gembira dan teruja dengan usaha kerajaan mentransformasi gerai dan kawasan perniagaan mereka. Perubahan ini membolehkan pelanggan manjamu selera dalam suasana nyaman dan santai.

Antara yang dilaksanakan ialah menambah baik papan tanda utama kawasan perniagaan‚ menjadikannya lebih jelas dipandang. Papan tanda kedai dan kawasan dataran juga ditambah baik.

Selain itu‚ laluan pejalan kaki ditambah serta menaik taraf tempat letak kenderaan awam‚ termasuk untuk golongan orang upaya (OKU). Elok jika kawasan parkir ditambah bagi menampung keperluan pelanggan‚ terutama pada waktu puncak seperti minum pagi dan makan tengah hari.

Usaha juga dilakukan menaik taraf rumah sampah sedia ada. Aspek keceraiaan turut diberi keutamaan dengan melukis mural pada tembok.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas