Berita

Wajah baharu Malaysia

USAHA-USAHA memperbaiki kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa menjadi fokus utama Perdana Menteri.
- Diterbit 11 Oktober 2024 9:30 AM MYT

WAJAH baharu Malaysia yang sedang dibina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan semangat kebersamaan di semua pihak yang terlibat.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Suhaimee Saahar @ Saabar berkata ia juga selaras dengan usaha pemulihan ekonomi berteraskan urus tadbir dan tatakelola baik.

Malah katanya kejayaan dan rekod positif yang dicapai kerajaan hari ini banyak disumbang oleh kematangan masyarakat yang inginkan kerajaan stabil dan kukuh.

“Sememangnya rakyat sedang menanti pembentangan Belanjawan 2025 yang bakal mengubah landskap ekonomi negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang dilancarkan pada 27 Julai 2023.

“Ia bermatlamatkan menstruktur semula ekonomi Malaysia ke arah aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi, bersifat kompetitif dan keutamaan memastikan negara dalam situasi ekonomi yang memberikan limpahan ekonomi dan melonjakkan kesejahteraan rakyat dalam pelbagai konteks pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Suhaimee berkata berdasarkan laporan ekonomi terkini, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan positif dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.2 peratus (%) melebihi unjuran awal iaitu 3.9%.

Jumlah itu katanya memberikan keyakinan bahawa perancangan dan pelaksanaan perancangan ekonomi negara berada pada landasan yang baharu walaupun senario politik global semakin mencabar.

“Hari ini kita berdepan dengan kos sara hidup, kuasa membeli rakyat Malaysia semakin pulih. Kadar inflasi yang menurun pada kadar 1.8% berbanding 3.2 % pada tempoh sama tahun sebelumnya disumbang oleh beberapa faktor penting.

“Perkara itu merangkumi pemulihan sektor pelancongan, eksport meningkat dan pelaburan swasta yang semakin berkembang. Pemerhatian di lapangan juga menunjukkan kuasa membeli pengguna di pelbagai lapisan masyarakat dalam kategori ekonomi mereka tersendiri menunjukkan kadar pemulihan yang positif berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau menambah usaha kerajaan meletakkan negara sebagai salah satu destinasi pelaburan berdaya saing juga menjadi fokus utama dalam pembentangan Belanjawan 2025.

Katanya, beberapa sektor berimpak tinggi seperti pelaburan, industri berteknologi tinggi, inovasi digital terutama teknologi kecerdasan buatan, sektor automotif, pendidikan tinggi negara memerlukan penglibatan pelbagai pihak sama ada di peringkat agensi dan juga masyarakat.

Menurutnya hal demikian kerana limpahannya akan berlaku secara organik dalam satu keadaan ekonomi yang stabil dan kukuh.

“Aktiviti rangsangan daya saing dan inovasi ini perlu juga diterjemahkan kepada rakyat dalam bentuk yang mudah dan boleh dicapai serta dilaksanakan dengan konsep insaniah dan daya syukur yang menyeluruh.

“Usaha-usaha memperbaiki kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa menjadi fokus utama.

“Oleh itu, kebersamaan rakyat dan kerajaan dalam memastikan aspek kesejahteraan dan kualiti hidup ini perlu dijadikan nilai utama. Tiada yang akan dipinggirkan dan peluang saksama setiap individu tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, geografi dan ideologi politik,” katanya.

Untuk itu katanya, ia telah dibuktikan oleh Perdana Menteri dalam memastikan tiada yang dipinggirkan dan penerimaan itu sedang direalisasikan dalam pelbagai bentuk dan inisiatif rakyat.

“Kita akan nantikan beberapa impak positif sedang dijelmakan dalam waktu-waktu terdekat walaupun berdepan dengan cabaran yang semakin mencabar, kita mampu mengharunginya dengan semangat Malaysia MADANI yang kini diterima oleh rakyat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas