Berita

Visi bina bandar bertenaga ke arah transformasi KL

MAIMUNAH semasa ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ke-15 mengenai WCSC 2024.
- Diterbit 13 September 2024 10:20 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengutamakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi untuk memastikan masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan untuk bandar raya itu.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif, visi DBKL untuk Kuala Lumpur adalah untuk membina sebuah bandar yang bertenaga dari segi ekonomi, mesra alam, inklusif dan sebuah bandar yang boleh didiami bagi menampung penduduknya seramai 1.98 juta dan dijangkakan akan meningkat naik kepada 2.35 juta pada tahun 2040.

“Visi itu dapat dicapai melalui inisiatif yang fokus terhadap penjanaan semula bandar, transit, perumahan, kawasan hijau, budaya dan penglibatan masyarakat.

“Penjanaan semula bandar adalah penting kepada transformasi Kuala Lumpur. Ini selari dengan salah satu matlamat Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) iaitu menjadi sebuah bandar mampan dengan pembangunan bersepadu.

“Meskipun menghadapi cabaran, inisiatif River of Life adalah contoh yang baik bagi usaha menggiatkan semula untuk membina waterfront feature yang menarik buat penduduk tempatan dan pelawat,” katanya semasa ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ke-15 mengenai Bandar Lestari Bertaraf Dunia (WCSC 2024) yang diadakan pada Selasa.

Dalam masa sama, beliau berkata kawasan hijau yang digazetkan di Kuala Lumpur atau ‘paru-paru hijau KL’ tidak lagi akan dikorbankan untuk pembangunan.

“Kami sudah memetakan kawasan hutan gazet dan kawasan lapang awam untuk melindungi tapak ini daripada pembangunan masa depan. Dengan perubahan iklim yang semakin ketara, terdapat keperluan yang mendesak untuk melindungi kawasan ini.

“Selain itu, DBKL juga fokus untuk menjadikan kawasan awam selamat, mudah diakses dan dinamik untuk memupuk interaksi masyarakat.

“Pengubahsuaian Dataran Merdeka telah meningkatkan daya tarikannya sebagai ruang untuk perhimpunan awan dengan kemudahan acara yang lebih baik. Begitu juga di mana kawasan pejalan kaki di sesetengah bandar telah menjadikan lebih ramai orang berjalan, membeli dan berinteraksi tanpa dihalang oleh laluan kenderaan,” ujarnya.

Mengenai kesiapsagaan bandar dalam menangani bencana alam, Maimunah berkata DBKL perlu meningkatkan prosedur operasi standardnya dalam menangani bencana alam khususnya dari segi komunikasi.

“Apabila bercakap tentang bencana, kita perlukan komunikasi yang jelas mengenai isu yang dihadapi terutamanya ketika berurusan dengan media. Apabila kejadian lubang benam Masjid India berlaku, setiap hari saya terima panggilan daripada media.

“DBKL perlu ada sebuah pasukan berdedikasi untuk memastikan pihak media dimaklumkan tentang apa yang berlaku di peringkat bawah untuk menyalurkan mesej sebenar, bukan melalui media sosial,” ujar beliau.

Terdahulu, WCSC 2024 dianjurkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Rehda WPKL), Institut Perancang Malaysia (MIP) dan Institut Arkitek Malaysia (PAM).

Persidangan bertemakan Merevitalisasi Kuala Lumpur melalui penjanaan semula bandar yang inovatif tahun ini itu menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa yang terkenal untuk menerokai strategi pembangunan bandar urban yang bertujuan untuk meningkatkan daya huni, kemapanan dan daya hidup ekonomi Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas