SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti penggunaan visa pelancong dalam kalangan warga asing merupakan antara punca utama berlakunya kegiatan ‘counter setting’.
Ia melibatkan Terminal 1 dan 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kumpulan warga asing khususnya Bangladesh, Nepal, Myanmar dan beberapa negara lain datang ke negara ini tidak menggunakan sistem sedia ada.
Sebaliknya mereka menyalahgunakan visa pelancong masuk ke negara ini konon bertujuan melancong tetapi hakikatnya ialah untuk bekerja secara haram.
Menurut sumber, ini merupakan modus operandi yang membuka kepada kegiatan ‘counter setting’ di mana sindiket membayar wang rasuah dengan nilai tertentu kepada penguat kuasa seterusnya menyebabkan berlakunya isu warga asing yang melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh sah, bekerja tanpa permit kerja yang sah dan mengelak senarai hitam (blacklist) dalam negara.
Sindiket ini tidak menggunakan sistem pengurusan berpusat pekerja asing iaitu Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) yang mendaftar dan memantau pekerja asing di negara ini.
Penyalahgunaan visa pelancong bertujuan untuk bekerja secara haram ini dikenal pasti sangat berleluasa dan membuka peluang kepada warga asing masuk bekerja di negara ini.
Tambah sumber, bayaran yang dikenakan sindiket kepada kumpulan warga asing yang ingin memohon permit kerja ke negara ini adalah lebih RM6,000 sehingga RM12,000 dengan menggunakan saluran yang tidak sah.
Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara ini. – WILAYAHKU