SEORANG anggota GISBH yang tular videonya mendera kanak-kanak di sebuah rumah amal dikaitkan dengan organisasi itu akan didakwa di mahkamah, pagi ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.
“Kita akan tuduh suspek yang dikaitkan dengan video tular mendera kanak-kanak di bawah rumah amal dikaitkan dengab GISBH esok (pagi ini),” katanya di sini.
Sementara itu, satu jemputan media telah dikeluarkan Bukit Aman malam ini.
Pendakwaan berkenaan akan dilakukan di mahkamah berkenaan pada pukul 8.45 pagi esok (pagi ini) mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 16 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera.
Polis juga telah mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan sebelum ini yang dipisahkan dengan bapanya sejak 2021.
Terdahulu satu rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki didakwa didera itu tular di media sosial.
Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat mengerang kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa. – WILAYAHKU