Artikel

Video Fahmi besar maknanya

- Diterbit 2 Ogos 2024 3:51 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

MINGGU ini tular satu video yang sangat menarik dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Dengan hanya menggunakan pendekatan naik dan turun tangga, Fahmi berjaya menjelaskan dengan mudah pencapaian negara sekarang.

Fahmi memulakan video ini dengan turun tangga sambil menyebut, “hutang turun.” Kemudian dia turun lagi tangga itu sambil menyebut, “inflasi turun”.

Sambil menyebut kedua-duanya, video ini memaparkan cerita bagaimana hutang negara boleh turun dengan memainkan video ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menceritakan bagaimana hutang negara telah diturunkan.

Begitu juga dengan inflasi. Beliau memaparkan pengumuman terbaharu tentang penurunan inflasi yang kini hanya dua peratus sahaja.

Selepas turun tangga, Fahmi naik tangga pula sambil berkata “Harga sawit naik”. Beliau juga menyebut “Harga getah naik” dan juga “Ringgit naik”.

Melalui kombinasi ini, apabila hutang negara dan inflasi turun dan harga sawit, getah dan ringgit naik, Fahmi berjaya memberitahu dunia dan rakyat Malaysia bagaimana kebaikan sedang diterima oleh rakyat negara ini.

Memang sebagaimana yang diberitahu Fahmi melalui video yang kreatif ini, Malaysia sedang menuai apa yang telah mula ditanam oleh Kerajaan Perpaduan sejak ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Sebagaimana yang diketahui, Kerajaan Malaysia MADANI ini mempunyai 60 bulan untuk membuktikan apakah mereka berjaya atau tidak mentadbir Malaysia sebagaimana yang dikehendaki oleh rakyat.

Kini 20 bulan sudah berlalu dan hasilnya mula boleh dinikmati oleh rakyat dan negara.

Jika itu pencapaian selepas 20 bulan, sudah tentu Malaysia tidak teragak-agak untuk memberikan peluang selama 40 bulan lagi kepada Kerajaan Malaysia MADANI untuk membuktikan kemampuannya.

Ramai yang berkata PM Anwar telah berjaya menjalankan tugasnya dengan baik. Beliau telah berjaya menarik perhatian dunia tentang kemampuan dan kebolehannya.

Pihak yang paling terkesan dengan kebolehan beliau adalah umat Islam di seluruh dunia. Sudah lama mereka mengimpikan seorang hero untuk membolehkan mereka menyandarkan harapan.

Kini mereka melihat sinarnya. Nasib umat Islam Palestin yang sedang dilanyak Israel terbela di pentas dunia. Semua melihat apa yang PM Anwar suarakan ketika berkongsi pentas sidang media dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz.

Dalam sidang akhbar di Berlin pada 12 Mac lalu itu, Anwar dilaporkan oleh Agensi Anadolu (AA) mengkritik negara Barat kerana kurang bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza tetapi mereka mengecam Hamas.

Anwar seperti dilaporkan AA berkata, negara barat seharusnya menghentikan sikap memilih dan mempunyai perasaan yang bertentangan terhadap sesuatu.

“Apa yang saya tolak dengan keras ialah naratif ini, obsesi ini, macamlah semua masalah bermula dan berakhir pada 7 Oktober.

“Ia tidak bermula dengan 7 Oktober dan tidak berakhir dengan 7 Oktober.

“Ia bermula empat dekad sebelum itu, dan ia berterusan setiap hari,” katanya.

Anwar dilaporkan berkata dasar Israel terhadap Palestin yang berdekad-dekad lamanya dan kekejaman rejim itu adalah punca utama kepada konflik yang berterusan.

Konflik yang berterusan itu mengakibatkan korban dan kemusnahan yang ketara serta Israel menghadapi tuduhan melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ekoran dari sidang media itu, sikap Jerman terhadap konflik itu seolah-olah bertukar 180 darjah. Bebarapa hari selepas itu, Jerman mengumumkan bantuan berjuta ringgit untuk umat Palestin.

Apa yang dibuat oleh Anwar bukan itu sahaja. Yang lebih banyak dibuat Anwar adalah untuk rakyat negara ini dan hasilnya dipertontonkan oleh Menteri Komunikasi sendiri menerusi video yang saya sebutkan di atas tadi.

Sepatutnya, selaku Menteri, Fahmi tidak perlu membuat video itu. Fahmi mempunyai agensi komunikasi yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Ada Jabatan Penyiaran Malaysia atau RTM, BERNAMA, Jabatan Penerangan dan pelbagai jabatan lagi yang sepatutnya menjalankan tugas untuk menyampaikan naratif kerajaan.

Namun, sebelum video Fahmi, jabatan manakah yang menyampaikan naratif kerajaan ini? Inilah persoalan besarnya.

Percayalah, selepas 20 bulan berlalu, Kerajaan Malaysia MADANI ini telah membuktikan mereka mampu membawa Malaysia ke tahap itu, sudah pasti 40 bulan lagi akan membawa Malaysia ke puncak dunia.

Oleh itu, tidak ada sebab untuk anggota pasukan penyiaran dan komunikasi kerajaan itu ragu-ragu terhadap kerajaan ini. Berilah sokongan anda sepenuhnya kepada kerajaan yang ada.

Laporkanlah cerita kerajaan dengan saksama dan sewajarnya. Janganlah sabotaj mereka dengan kerja sambil lewa dan melepaskan batuk di tangga.

Saya yakin, Fahmi sedia untuk membuat kerja yang sepatutnya dibuat oleh media kerajaan sekarang tetapi jika berlebih-lebih sangat, sudah tentu dia juga akan bosan.

Jangan sampai situasi itu berlaku. Berilah sokongan sepenuhnya untuk menyampaikan naratif kerajaan sekurang-kurang amalkanlah dasar kami menyokong government of the day.

INI sekadar pandangan penulis berdasarkan situasi semasa yang ada.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas