Fokus

VI lakar kemegahan di persada dunia

BAGPIPE merupakan antara instrumen muzik yang dipelajari dan digunakan dalam setiap persembahan Pancaragam VICCB
- Diterbit 3 Februari 2024 9:15 AM MYT

PASUKAN Pancaragam Kor Kadet Victoria Institution atau Victoria Institution Cadet Corps Band (VICCB) yang ditubuhkan oleh Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur pada tahun 1909 terus melakar kejayaan cemerlang bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga berjaya mencipta kegemilangan di luar negara.

Pasukan yang terus megah selama 115 tahun itu juga berjaya membuktikan kebolehan setiap ahlinya dengan merangkul puluhan anugerah selain turut terpilih untuk membuat beberapa persembahan di luar negara sekali gus menjulang nama sekolah dan Malaysia.

Walau bagaimanapun, tidak lengkap nama dijulang tanpa ada dorongan di belakang. Semangat dan usaha gigih para pelajar biarpun terpaksa membahagikan masa di antara pelajaran dan kokurikulum harus dibanggakan.

Kesungguhan serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan ahli yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima membuka mata banyak pihak bahawa pasukan ini sememangnya satu dalam sejuta bintang.

Berkongsi pandangan tentang kejayaan tersebut, Pengetua Victoria Institution (VI) kuala Lumpur, Abd Samad Othman berkata kecemerlangan VICCB sejak beberapa tahun lalu sememangnya memberi kebanggaan terbesar buat sekolah dan ia wajar diberi penghargaan.

ABD SAMAD

“VI merupakan sebuah institusi pendidikan yang bermotokan Scholar, Sportsman, Gentleman di mana ­ketiga-tiganya digabung dan diamalkan oleh setiap pelajar dan dikembangkan dalam bidang kokurikulum dan sukan termasuklah pasukan pancaragam.

“Sejak pengurusan VICCB ditambahbaik seiring peredaran zaman, pasukan ini telah melakar banyak anugerah dan pencapaian cemerlang termasuk empat kali memenangi pingat emas di World Championship for Marching Show Bands iaitu pada tahun 2000 di Canada, 2003 (Itali), 2005 (Belanda) dan Kuala Lumpur pada tahun lepas.

“VICCB juga permah memenangi pingat emas di pertandingan Malaysia National Band Competition (NATCOMP) di Kedah pada tahun 2022 dan menariknya pasukan pancaragam juga pernah digelar oleh Itali sebaris pasukan terbaik di dunia kerana pernah menjuarai pertandingan peringkat antarabangsa di Italy pada 2003 dan 2009.

BARISAN ahli pasukan pancaragam VICCB bersama guru penasihat dan jurulatih pasukan

“Menjadi kebanggaan juga apabila pasukan ini terpilih untuk membuat persembahan perarakan pada sambutan Hari Kemerdekaan setiap tahun. Ia merupakan acara yang dinanti-nanti oleh setiap pelajar,” kata beliau VICCB dianggotai oleh 100 orang ahli pelbagai bangsa.

Abd Samad berkata, sudah pasti sokongan akan diberikan sepenuhnya dan kejayaan itu adalah hadiah yang amat bermakna bukan sahaja pada sekolah namun pada setiap ahli yang ­bersungguh-sungguh ingin mencapai kecemerlangan.

“Saya juga melihat pelbagai aspek yang menyumbang kepada kejayaan tersebut antaranya bantuan daripada jurulatih seramai tujuh orang yang sangat komited, empat guru penasihat dan ibu bapa. Pasukan ini boleh dijadikan kepintaraan untuk VI dan ia juga mencerminkan identiti mereka.

“Selain itu, saya juga dapat lihat sahsiah dan disiplin yang ditunjukkan oleh mereka. Tanpa dua perkara itu, kejayaan sesebuah pasukan pasti tidak boleh dicapai, tahniah diucapkan kepada jurulatih yang membentuk keperibadian mereka,” katanya.

Tambah Abd Samad, bantuan tujuh orang jurulatih yang merupakan bekas pelajar atau alumni sekolah itu memberi tumpuan dalam membentuk jati diri khususnya aspek disiplin, komitmen serta ketahanan yang menjadi identiti pasukan tersebut.

Katanya, mereka bukan sahaja berdisiplin dari segi masa, pakaian dan tingkah laku malah juga patuh kepada arahan yang diberikan.

“Untuk tahun 2024, saya harap pasukan VICCB ini dapat mengekalkan pencapaian cemerlang di mana-mana pertandingan dalam dan luar negara sekali gus menjadi antara institusi persekolahan yang mampu berkembang tinggi dan mengharumkan nama negara,“ ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas