Oleh SYUQQREE DAIN
TAMAN Botani Perdana‚ dahulunya dikenali sebagai Taman Tasik Perdana merupakan satu-satunya taman rekreasi tertua dan terbesar di tengah Kuala Lumpur sejak tahun 1888. Dengan keluasan 220 hektar‚ setiap pengunjung yang ke sini pasti merasai pengalaman seolah-olah berada dalam hutan hujan tropika kerana kepelbagaian koleksi tumbuhan yang bertaraf dunia.
Berusia 136 tahun‚ taman ini sentiasa menjadi pilihan utama untuk melakukan aktiviti rekreasi termasuk mengabadikan momen penting seperti gambar konvokesyen atau perkahwinan. Terletak berdekatan Taman Burung Kuala Lumpur dan Tugu Negara‚ orang ramai yang ingin berkunjung boleh menggunakan pengangkutan awam seperti tren komuter laluan Kuala Lumpur atau perkhidmatan transit aliran ringan (LRT).
Taman yang berada di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini dibahagikan kepada sembilan kawasan utama‚ termasuk Panggung Aniversari‚ kawasan pokok hutan‚ laman perdana‚ taman bunga dan rekreasi. Terdapat juga taman herba yang sentiasa menjadi tarikan pelancong seperti Taman Herba dan Rempah‚ Taman Rusa‚ Taman Sunken‚ Taman Bunga Raya‚ Taman Orkid dan banyak lagi.
Sebahagian pengunjung yang melawat ke taman ini juga bertujuan untuk mempelajari tentang pelbagai jenis herba dan rempah‚ serta hutan rimba Malaysia. Mereka boleh melihat pelbagai sampel spesimen herbarium dari taman-taman awam di sekitar Kuala Lumpur.
Salah satu tarikan dan sesuai untuk mencipta gambar kenangan adalah Taman Sunken‚ dengan landskapnya yang indah dan dihiasi tumbuhan berwarna yang disusun secara geometri. – WILAYAHKU
Lensa:
[Iklan]