VIDEO Bantuan Pengadil (VAR) menjadi tumpuan dalam perlawanan pertama Liga Super 2024/25 di antara Kuala Lumpur (KL) City FC menentang Kuching City FC selepas terlibat dalam dua insiden getir iaitu gol penyamaan Kuching City pada minit ke-14 dan layangan kad merah kepada pemain pertahanan baharu KL City, Adrijan Rudovic pada minit ke-39.
Bertempat di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, KL City FC yang tampil dengan 10 pemain berjaya mengikat Kuching City FC dengan keputusan seri 1-1 di mana tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-12 perlawanan menerusi jaringan cantik luar kotak penalti yang dilakukan oleh kaptennya Paulo Josue sebelum jaringan penyamaan menerusi Yuki Tanigawa dua minit kemudian dibatalkan.
Lebih menarik lagi, Josue meraikan gol pertama musim ini dengan gaya ‘siu’ seperti tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim sebagai tanda solidariti terhadap pemain terbabit yang menjadi mangsa simbahan asid baru-baru ini.
VAR sekali lagi terlibat dalam keputusan getir apabila Logeswaran membatalkan kad kuning yang diberikan kepada Rudovic dan melayangkan kad merah kepadanya susulan terjahan berbahaya ke atas penyerang Kuching City, Jordan Mintah pada minit ke-34 selepas membuat semakan di monitor.
Rentak permainan tuan rumah sedikit terganggu apabila terpaksa beraksi 10 pemain selama 60 minit namun keputusan 1-1 sama kekal hingga tamat perlawanan sekali gus kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi mata pada aksi pertama Liga Super. – WILAYAHKU