Fokus

Vape bawa 7,000 kesan negatif

Gambar hiasan
- Diterbit 9 Ogos 2024 11:30 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

TABIAT menghisap rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape dilihat semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar menengah malah turut menular di peringkat sekolah rendah ekoran terdapat beberapa pihak yang menormalisasikan sentimen kononnya ia tidak berbahaya.

Realitinya, sama ada vape atau rokok kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu boleh merosakkan paru-paru selain memberikan pelbagai kemudaratan selain menjadi punca golongan remaja menjadi penagih nikotin.

Justeru itu, Pengamal Perubatan, Dr Amalina Azmi meminta orang ramai untuk menghentikan sentimen bahawa vape tidak membahayakan kerana ia dilihat sebagai ancaman serius kepada golongan muda di Malaysia.

“Sikap mahu mencuba, pengaruh daripada rakan selain ingin menghilangkan tekanan menjadi antara faktor pelajar terjebak. Malah, ada yang bertindak lebih berani dengan membawa peranti itu ke sekolah akibat ketagihan.

“Kebanyakan cecair vape berperisa mempunyai nikotin yang menyebabkan ketagihan. Vape tidak selamat untuk kanak-kanak kerana ia mengandungi nikotin dan perisa dalam bentuk aerosol yang mempunyai tujuh ribu kesan negatif,” ujar beliau.

Amalina juga menegaskan vape adalah sama bahaya dengan rokok konvensional.

“Vape merupakan peranti berkuasa bateri yang mampu menyalurkan nikotin dan perisa dalam bentuk aerosol. Aerosol mengandungi bahan berbahaya serta logam berat karsinogenik seperti nikel, plumbum dan bahan kimia lain. Selain itu, propylene glycol yang ditemukan dalam vape boleh menyebabkan kerengsaan mata dan paru-paru serta gangguan saluran pernafasan.

“Nikotin yang mempunyai kesan ketagihan pula boleh menyebabkan kemurungan, pening, kanser paru-paru dan kematian. Nikotin juga boleh memberi kesan besar kepada perkembangan otak kanak-kanak dan remaja sehingga usia 25 tahun.

“Cecair vape mengandungi pelbagai perisa merbahaya dan menunjukkan sitotoksisiti iaitu cecair yang mampu membunuh sel paru-paru, otak dan lapisan kulit. Malah, bahan kimia yang ada dalam ramuan perisa digunakan di dalam cecair vape iaitu diacetyl boleh menyebabkan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

“Bahaya kandungan nikotin ini menjadikan penggunanya lebih cenderung untuk mengalami ketagihan, menurunkan sistem imunisasi badan, membantutkan pembelajaran, hilang fokus dan seterusnya menyumbang masalah gejala sosial yang lain,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata orang ramai diingatkan untuk tidak mudah terpedaya dengan dakwaan penggunaan vape kurang mudaratnya berbanding rokok apatah lagi bagi mengurangkan ketagihan.

“Masih tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan berkenaan. Sehingga kini tiada syarikat pengeluar mendaftarkan produk mereka sebagai satu alat untuk berhenti merokok. Bahkan paling bahaya apabila pengguna menggunakan kedua-dua produk tersebut. Tak cukup dengan vape, mereka kembali kepada penggunaan rokok konvensional.

“Kandungan nikotin dalam vape adalah kira-kira dua atau tiga kali ganda lebih daripada kandungan nikotin dalam rokok. Sebagai contoh, dalam sebatang rokok ada lebih kurang 2 ke 3 miligram (mg) nikotin tetapi vape mungkin mengandungi empat hingga 12 mg nikotin.

“Apa yang menjadi kebimbangan ialah vape juga dikhuatiri turut dicampur nikotin yang juga bahan kimia berbahaya menye-babkan pelbagai masalah kesihatan termasuk peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar, ulser perut dan usus,” ujarnya.

Amalina berkata satu kajian pada 2021 bertajuk Characterizing the Chemical Landscape in Commercial E-Cigarette Liquids and Aerosols by Liquid Chromatography-High-Resolution mendapati ada lebih 2,000 jenis bahan kimia berbahaya dalam bentuk wap rokok elektronik di pasaran sekali gus merisikokan.

“Laporan A Systematic Review of Health Effects of Electronics Cigarettes pula membuktikan penggunaan rokok alaf baharu ini berisiko tinggi menyebabkan kerosakan sel badan manusia dan pelbagai komplikasi penyakit.

“Ini termasuklah ketagihan nikotin yang tinggi serta menambah beberapa kajian sebelum ini juga menunjukkan kebergantungan pada cecair itu adalah lebih tinggi berbanding bahan-bahan dan dadah terlarang yang lain seperti morfin dan heroin,” ujarnya.

Berdasarkan penemuan itu, Amalina menyangkal dakwaan pihak industri yang sering kali mempromosikan vape sebagai alternatif terbaik dan lebih selamat membantu perokok menghentikan tabiat mereka.

“Jumlah nikotin yang terdapat di dalam rokok adalah antara enam hingga 28mg. Jumlah ini besar julatnya kerana bergantung pada jenis rokok dan kualiti tembakau. Itupun rokok ada penapis di pangkalnya dan perokok hanya dapat menyedut kandungan nikotin kurang daripada 2mg (1.1 hingga 1.8mg).

“Walaupun hanya 2mg yang disedut, tetap ada bahan berbahaya dan nikotin itu sendiri menyebabkan ketagih. Bayangkan perokok tegar habiskan sekotak sehari, bermakna dia sudah sedut 22 hingga 36mg nikotin ke dalam tubuh. Sementara vape pula disedut secara terus tanpa tapisan dan kajian mendapati 15 sedutan mengandungi 15.4mg nikotin.

“Bayangkan jika menghisap vape ini puluhan kali sehari. Jika 10 kali, bermakna seseorang itu sudah menyedut 154mg nikotin iaitu tujuh kali ganda berbanding rokok biasa. Ramai tidak tahu yang kandungan nikotin di dalam rokok elektronik (0 hingga 36mg) boleh jadi lebih tinggi berbanding rokok tembakau (10 hingga 12mg).

“Oleh itu, tindakan memperketat pengawalseliaan sistem jualan vape termasuk memantau kandungan dalam cecair vape yang terkandung dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) harus disokong dan digerakkan kempennya bermula dari rumah,” tegasnya.

KAWAL SEBELUM MELARAT

KERAJAAN digesa untuk menangani isu vape yang tidak terkawal dalam kalangan pelajar sekolah dengan kadar segera.

Menurut Amalina, adalah penting untuk pihak sekolah di seluruh negara mengambil inisiatif untuk memerangi penggunaan vape melalui kempen kesedaran dan tindakan tegas.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap laporan baru-baru ini yang terdapat pelajar menggunakan vape di tandas sekolah dan bilik darjah yang tidak digunakan.

“Pihak sekolah dan pelajar perlu menyokong usaha Kementerian Pendidikan untuk memerangi penggunaan vape serta menekankan keberkesanan program pendidikan rakan sebaya. Saya juga ingin mencadangkan penggunaan selebriti dan pempengaruh media sosial dalam memperkuatkan untuk menguatkan mesej antivape.

“Adalah penting untuk melibatkan ibu bapa dan penjaga dalam sesi penerangan untuk membentuk sikap dan tingkah laku kanak-kanak atau remaja terhadap vape.

“Mereka yang serius ingin berhenti merokok perlu mendapatkan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang diwujudkan di klinik-klinik kesihatan berdekatan kerana nikotin daripada ubat-ubatan berhenti merokok diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas