CKK

Van pengangkutan awam baharu

- Diterbit 26 Februari 2024 2:43 PM MYT

SATU bentuk pengangkutan awam baharu bakal muncul di Lembah Klang tidak lama lagi. Hadirnya untuk memenuhi keperluan orang ramai, terutama di kawasan tidak terdapat perkhidmatan pengangkutan awam, atau frekuensi perkhidmatan tidak kerap.

Menurut khabar yang sampai ke telinga kawan-kawan Kedai Kopi, pengangkutan awam baharu ini dinamakan ‘Van On-Demand’ (VOD) atau ‘Van Atas Permintaan’. Perkara itu diumumkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, baru-baru ini.

Kata Loke, inisiatif perkhidmatan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) itu dilaksana sebagai alternatif memperkasa kesalinghubungan atau ‘inter-connection’ pengangkutan awam di Lembah Klang. Justeru sistem pengangkutan awam disasar jadi lebih efektif.

Kawan-kawan Kedai Kopi ucap tahniah kepada kerajaan yang mengambil langkah proaktif menambah baik pengangkutan awam demi memberi keselesaan kepada orang ramai yang banyak bergantung kepada perkhidmatan tersebut.

VOD dilihat sebagai pendekatan terbaik membantu mempelbagai pengangkutan awam, terutama di ibu kota Kuala Lumpur yang ketika ini banyak bergantung kepada bas, teksi, e-hailing, monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Rapid Transit Massa (MRT).

Belum ada perincian mengenai operasi VOD. Misalnya secara spesifik apa definisi van yang bakal digunakan. Ini kini kerana terdapat pelbagai saiz van dengan kapisiti berlainan. Atau adakah van akan disediakan sendiri oleh MOT dalam bentuk dan saiz seragam?

Selain itu bila perkhidmatan akan bermula, lokasi atau kawasan van beroperasi serta kadar tambang yang bakal dikenakan kepada penumpang juga belum diketahui. Tentu perkara ini sedang dikaji dengan teliti oleh kerajaan.

Namun menurut Loke, perkhidmatan VOD itu kelak akan memberi keutamaan kepada kawasan yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan bas awam. Memang sesuai tempat seperti ini diberi perhatian.

Kawan-kawan Kedai Kopi difahamkan, konsep VOD adalah seperti e-hailing. Cuma kerana ini adalah perkhidmatan dikendalikan oleh MOT, operasinya serta tambang dikenakan dijangka tidak menyamai khidmat e-hailing. Mungkin juga lebih murah.

Perkhidmatan VOD tidak ada laluan khas, namun akan ditempatkan di kawasan strategik. Apabila perincian diumumkan nanti, mungkin boleh diketahui adakah van ditempatkan secara tetap, atau orang ramai perlu membuat tempahan seperti e-hailing.

Kawasan strategik bermaksud kawasan di mana keperluan ramai terhadap pengangkutan awam adalah tinggi, tetapi tiada atau terlalu jarang perkhidmatan bas awam di tempat berkenaan.

Memandangkan kawasan seperti itu diutamakan, perkhidmatan tersebut tersebut juga boleh bertindak sebagai van ‘feeder’ yang menyambungkan kepada rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam lain.

Pelaksanaan VOD merupakan insiatif berteras Belanjawan 2024. Sebanyak RM50 juta diperuntuk untuk memperkasa perkhidmatan pengangkutan awam. Daripada jumlah itu, sebahagian daripadanya akan diguna untuk membeli van. Operasi VOD pula akan diselia oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Prasarana pula dicadang menjalin kerjasama dengan syarikat yang menawarkan khidmat ‘Demand Responsive Transport’ (DRT) atau Permintaan Pengangkutan Responsif bertujuan memperluas perkhidmatan VOD berkenaan.

Jalinan kerjasama boleh dilaksanakan memandangkan pada dasarnya VOD nanti dan DRT berperanan lebih kurang sama. Jika wujud kerjasama ini, sistem pengangkutan awam boleh menjadi lebih lancar, pengguna memperoleh manfaat terbaik.

VOD juga mengembalikan ingatan kepada era bas mini di ibu kota dari 1975 hingga 1998. Bas mini diperkenal sebagai pengangkutan awam tambahan selain bas dan teksi. Pelbagai jenis bas mini ada, dioperasi oleh pelbagai syarikat atau konsortium.

Tidakkah kehadiran VOD menambah kesesakan lalu lintas di ibu kota? Tidak perlu membuat kesimpulan terburu-buru. Tunggu dahulu maklumat kaedah operasi, misalnya berapa banyak van akan dilesen dan di kawasan mana. Kelak diketahui sejauh mana ia mewarnai suasana lalu lintas.

Namun kawan-kawan Kedai Kopi percaya MOT akan melakukan kajian teliti dan terperinci mengenai isu ini sebelum operasi bermula. Kita semua mahu tujuan yang baik benar-benar memberi manfaat kepada orang ramai. Semoga kelak operasi VOD berjalan lancar. Kita tunggu kehadirannya!

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas