Artikel

Van DRT makin popular

- Diterbit 6 September 2024 3:20 PM MYT

DALAM usaha menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam‚ Prasarana Malaysia Bhd akan menambah 300 van baharu untuk perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) berikutan sambutan menggalakkan.

Kawan-kawan Kedai Kopi percaya ramai menggunakan perkhidmatan ini sekarang. Van DRT memberi khidmat dari lokasi tertentu ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) berdekatan. Perkhidmatan ini di bawah operasi Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus).

Matlamat utama DRT ialah menyediakan kemudahan pengangkutan di kawasan tidak ada perkhidmatan pengangkutan awam atau frekuensi perkhidmatan tidak cukup kerap bagi memenuhi keperluan pengguna.

Van DRT menjalankan khidmat dalam lingkungan dua kilometer dari stesen LRT terpilih. Penumpang yang memerlukan khidmat ini perlu membuat tempahan melalui aplikasi. Konsepnya sama seperti tempahan e-hailing tetapi tambang DRT jauh lebih murah‚ iaitu RM1 bagi setiap perjalanan.

Khidmat DRT bermanfaat kerana membantu menyelesaikan masalah keperluan pengangkutan awam di kawasan terpencil. Dengan tambang rendah‚ ia membantu golongan berpendapatan rendah merangkumi pelbagai usia dan latar belakang.

Penambahan 300 van‚ dijangka menjelang Disember tahun ini‚ akan merancakkan lagi perkhidmatan DRT. Ketika diperkenal pada Mei 2023‚ operasi van DRT hanya satu laluan sahaja. Kini perkhidmatan di Lembah Klang bertambah kepada sembilan laluan menggunakan 18 van.

Kawan-kawan Kedai Kopi sendiri melihat perkhidmatan ini di stesen LRT Taman Melati‚ Setapak. Van DRT datang pergi dipenuhi penumpang. Purata kenaikan penumpang DRT ialah 32 peratus. Jumlah penggunaan keseluruhan yang dicatat sehingga Julai 2024 ialah 126‚656 orang. Tentu angka ini telah meningkat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas