Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Vaksin HPV percuma kepada golongan B40

ANTARA peserta dan sukarelawan ketika Program Menoktahkan Kanser Serviks
- Diterbit 21 Jun 2024 3:00 PM MYT

DALAM usaha pengesanan awal kanser serviks (pangkal rahim), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menganjurkan Program Menoktahkan Kanser Serviks yang diadakan di Pusat Pemerkasaan Pendidikan Dan Komuniti (PREPKOM), Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Rohani Hussin berkata seramai 50 peserta wanita menerima Vaksin Human Papillomavirus (HPV) yang merupakan kaedah baru bagi pengesanan awal kanser serviks.

“Peserta dibekalkan dengan kit ujian HPV dan mereka boleh mengambil sampel menggunakan kaedah persampelan sendiri,” ujarnya selepas menghadiri program tersebut.

Rohani berkata kanser serviks merupakan kanser ketiga paling tinggi dalam kalangan wanita di negara ini.

“Program ini merupakan satu langkah yang baik kerana kita berusaha memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan bahayanya penyakit ini serta peri pentingnya melakukan rawatan kesihatan.

“Adalah lebih baik untuk kita mengetahui di peringkat awal agar ia dapat dirawat dengan kaedah yang tepat kerana saya percaya setiap penyakit pasti ada ubatnya,” ujarnya.

Rohani berkata program tersebut dibuka kepada golongan B40 kerana kos untuk mendapatkan rawatan kanser serviks di luar mahal sekali gus membuktikan betapa kerajaan dan YWP mengambil berat tentang kesihatan rakyat.

“Hargai kesihatan diri bagi mengelakkan terkena kanser serviks dan dapatkan rawatan serta nasihat pakar. Jangan sesekali mengambil sebarang suplemen yang tidak pasti kesahihannya,” pesan beliau.

Dalam pada itu, Rohani turut berharap agar kerjasama strategik ini dapat memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap penyakit kanser serta dalam masa sama membawa manfaat kepada orang ramai.

Terdahulu, NCSM menjalankan program tersebut sebagai pelengkap kepada Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Melalui program ini, vaksin HPV akan diberikan kepada golongan kurang berkemampuan, terpinggir dan pedalaman di setiap 222 kawasan Parlimen di Malaysia. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas