Berita

UTM dan UMPSA terima Naib Canselor baharu

- Diterbit 8 Januari 2025 2:46 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim telah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok.

Menurut KPT, manakala Profesor Dr Yatimah Alias telah turut dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi tempoh yang sama berkuat kuasa 13 Januari ini.

Katanya, Mohd Shafry, 49, merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2008.

KPT berkata beliau berpengalaman luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran.

“Antaranya sebagai Timbalan Dekan (Kokurikulum dan Pembelajaran Servis) Sekolah Pengajian Prasiswazah UTM (2015), Pengerusi Sekolah Pengajian PraSiswazah UTM (2019), Pengerusi Institute for Life Ready Graduates (iLeaGue) UTM (2020) serta merupakan Felo Penyelidik di Media and Game Innovation of Excellence (MaGICX), Institute of Human-Centred Engineering (iHuMeN) UTM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM pada 2023,” kata KPT.

Menurut KPT, Yatimah, 55, pula merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM) sejak tahun 2022.

KPT berkata beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kimia dari University of East Anglia, Australia pada tahun 1999 dan merupakan pakar dalam bidang Electrochemistry dan Ionic Liquids.

“Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UMPSA adalah berdasarkan kepada reputasi akademik yang diiktiraf serta pengalaman luas yang dimiliki dalam pengurusan pentadbiran di UM.

“Beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM (2014); Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM (2018) dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dari tahun 2017 hingga 2022,” katanya.

KPT yakin pelantikan mereka akan memperkasakan pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan teknologi terkini.

KPT yakin akan melahirkan graduan berminda global yang bersifat tersedia industri, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang tinggi.

“KPT turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kedua-dua mantan Naib Canselor UTM dan UMPSA iaitu Datuk Profesor Ir Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Datuk Profesor Ts Dr Yusserrie Zainuddin atas jasa dan bakti sepanjang menerajui UTM dan UMPSA sebelum ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas