KERAJAAN mesti memastikan pekerja tempatan diberi keutamaan melalui tawaran gaji yang kompetitif dan syarat kerja yang adil bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George berkata keutamaan itu bukan sahaja penting untuk menangani masalah pengangguran tetapi juga untuk meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan.
Beliau menekankan perkara itu ketika mengulas keputusan terbaru yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, untuk membenarkan pengusaha stesen minyak mengambil pekerja asing di kafe dan kedai serbaneka.
“Keputusan ini mencerminkan keperluan industri yang sedang berkembang, tetapi kita tidak boleh mengabaikan keutamaan untuk rakyat Malaysia.
“Gaji yang terlalu rendah tidak akan menarik minat pekerja tempatan dan ini akan terus membuka ruang kepada kebergantungan terhadap pekerja asing sebagai pilihan yang lebih murah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memuji langkah kerajaan yang membenarkan pekerja asing dalam sektor stesen minyak diambil bekerja secara langsung oleh syarikat pengendali stesen, tanpa melalui ejen.
“Langkah ini amat dialu-alukan kerana ia dapat menghapuskan eksploitasi oleh pihak tengah yang tidak bertanggungjawab yang menggelar diri mereka sebagai ejen pekerjaan.
“Pengambilan secara langsung memastikan ketelusan dan akauntabiliti, serta memastikan pekerja asing dilayan dengan adil,” katanya.
Dalam pada itu, Gunaraj turut menyentuh mengenai inisiatif kerajaan untuk menawarkan pekerjaan kepada banduan dengan kesalahan ringan sebagai sebahagian daripada usaha reintegrasi mereka ke dalam masyarakat.
Beliau menyifatkan usaha ini sebagai langkah terpuji tetapi menegaskan ia perlu dilaksanakan dengan teliti.
“Memberikan peluang kedua kepada banduan adalah usaha murni, namun perlu ada proses penapisan dan pemantauan yang ketat untuk mengelakkan risiko serta mengekalkan keyakinan masyarakat,” katanya.
Gunaraj menyeru kerajaan untuk mengambil pendekatan yang seimbang dalam menangani kekurangan tenaga kerja.
“Kita memerlukan ekosistem pekerjaan yang mampan yang mengutamakan pekerja tempatan, menawarkan gaji yang kompetitif, dan memenuhi keperluan industri secara bertanggungjawab.
“Keutamaan untuk rakyat Malaysia mesti terus menjadi agenda utama kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU