Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
ILMU merupakan elemen penting yang dapat mengubah aspek sosioekonomi dan pendidikan dalam sesebuah masyarakat. Ia juga berfungsi sebagai pintu rezeki untuk memasuki dunia pekerjaan, sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga dan umat Islam pada umumnya.
Sekalipun begitu, tidak semua individu memiliki kesempatan dan kemampuan untuk menuntut ilmu dan ini adalah realiti kehidupan yang menampilkan perbezaan antara yang lebih dan kurang berkemampuan. Di mana-mana tempat sekalipun termasuk negara maju, tetap terselit golongan yang kurang kemampuan.
Kumpulan yang kurang bernasib baik itu sama sekali tidak dipinggirkan malah terus mendapat perhatian dan menikmati beberapa pelan atau perancangan jangka pendek dan panjang. Hal itu sangat penting untuk membolehkan mereka ‘berlari’ dengan kepantasan yang sama dengan yang lain untuk mencapai matlamat.
Hasil daripada perhatian dan perancangan kerajaan mengubah dan menambah baik kehidupan golongan itu ternyata memberikan hasil. Banyak dalam kalangan generasi muda khususnya golongan yang kurang berkemampuan berjaya keluar daripada lingkaran sedemikian dengan ilmu dan kemahiran.
Itulah cara yang tepat untuk mengubah kedudukan golongan yang kurang kemampuan dalam perlumbaan ekonomi di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Bantuan tidak boleh difahami sebagai pertolongan yang berterusan, sebaliknya sebagai lonjakan untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam menikmati kemajuan negara.
Salah satu institusi yang tidak boleh dipinggirkan sama sekali apabila bercakap tentang usaha mengeluarkan golongan kurang kemampuan daripada lingkarannya adalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Institusi itu memberikan fokus kepada pembangunan ekonomi dan modal insan yang berterusan.
Usaha itu memperlihatkan iltizam kerajaan dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat dalam golongan berkenaan. Hasilnya peruntukan dan bantuan yang signifikan yang disalurkan kepada MAIWP telah memberi kesan yang positif terhadap ahli masyarakat dalam golongan itu.
Dengan bantuan ini, golongan yang berpendapatan kecil dan kurang berkemampuan di ketiga-tiga wilayah mendapat manfaat yang berterusan daripada kemajuan negara. Malah itulah hasrat kerajaan untuk memperbaiki dan seterusnya menjadikan kedudukan mereka sebaris dengan golongan yang lebih berdaya maju.
Pelbagai program dilaksanakan termasuk bantuan pendidikan, latihan kerja, bantuan perubatan dan kebajikan lain yang melibatkan golongan B40. MAIWP telah berjaya mensasarkan kelompok yang memerlukan bantuan, memberi mereka harapan dan seterusnya memandu mereka menuju kehidupan dengan lebih baik.
Kerajaan, melalui usaha dan tindakan ini membuktikan komitmen memastikan tidak ada yang terpinggir daripada menikmati hasil kemajuan negara. Setiap bantuan yang diberikan adalah harapan supaya berlaku perubahan terutama dalam kedudukan ekonomi dan sosial.
Selain sebagai bantuan kewangan, kutipan zakat juga dimanfaatkan untuk membantu golongan yang kurang kemampuan mendapatkan pendidikan. MAIWP bukan hanya memberikan bantuan kewangan, tetapi juga berusaha mengubah keadaan sosioekonomi umat Islam dengan menyediakan pendidikan dalam bidang agama dan teknikal.
Sejak penubuhannya lebih setengah abad lalu, MAIWP telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan amat baik dalam aspek pembangunan sosial, ekonomi dan agama, terutama di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Sumbangan ini harus dilihat sebagai kejayaan membantu golongan kurang berkemampuan agar dapat bersaing di pelbagai bidang.
Walaupun kepimpinan MAIWP bertukar ganti dan sentiasa perubahan, matlamat asalnya tetap dilaksanakan dengan konsisten. MAIWP memahami definisi kejayaan umat dan menerapkannya dalam perancangan serta pelaksanaan beberapa projek pendidikan dan sosial yang telah menunjukkan hasil.
Hal itu membuktikan MAIWP bukan sekadar pusat kebajikan, tetapi juga memikul tanggungjawab melahirkan generasi Islam yang berilmu. MAIWP yang ditubuhkan pada 1 Februari 1974 bersamaan dengan penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu menjadi penggerak penting yang mengangkat kedudukan golongan kurang kemampuan daripada aspek ekonomi dan sosial.
Tanggungjawab MAIWP semakin meluas apabila Labuan menjadi wilayah pada 16 April 1984, diikuti dengan Putrajaya pada 1 Februari 2001. MAIWP melangkah menceburi bidang perubatan pada 1984 dengan menubuhkan Pusat Rawatan Islam di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Kemudian membesarkan operasi sebagai Hospital Pusrawi, sebuah hospital pakar yang setanding dengan yang lain di Jalan Tun Razak pada 16 Januari 2006. Semua itu adalah kejayaan sebuah institusi yang kini berusia lebih setengah abad dalam bidang kesihatan dan perubatan.
Hospital ini menyediakan perkhidmatan pakar dengan 164 katil dan pusat hemodialisis, berpegang pada prinsip patuh syariah. Selain Hospital Pusrawi, MAIWP juga membuka Pusat Bersalin Berisiko Rendah di Putrajaya hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, yang bertujuan mengatasi kesesakan di wad bersalin Hospital Putrajaya.
MAIWP menyediakan peruntukan zakat berjumlah RM3.26 juta untuk mengubah suai premis tersebut dan menyediakan peralatan moden. Kepimpinan MAIWP mempunyai perancangan jangka panjang untuk membentuk generasi muda Islam yang berilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi.
Dari perancangan itu, Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) ditubuhkan pada 1991, diikuti oleh Sekolah Menengah Agama MAIWP (SMA MAIWP) pada 2007 dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA). IKB adalah usaha MAIWP untuk membasmi kemiskinan dengan memberikan kemahiran teknikal kepada generasi muda agar mereka dapat berdikari.
Keberadaan IKB yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuka peluang bagi generasi muda dalam dunia pekerjaan.
SMA MAIWP yang beroperasi pada 2007 bermula di bangunan sementara, kini berstatus sebagai sekolah bantuan penuh kerajaan yang berpindah ke lokasi tetap di Cheras pada Jun 2013.
Sementara itu SMISTA, yang beroperasi sejak 3 Januari 2011, adalah sekolah agama integrasi sains dan tahfiz pertama di Wilayah Persekutuan. Dengan komitmen yang tinggi, MAIWP berusaha untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak, meski ada halangan yang disebabkan faktor keluarga kurang berkemampuan.
Ini membuktikan bahawa Islam sentiasa mendorong kemajuan dan menggalakkan usaha untuk membantu golongan yang kurang kemampuan mendapat ilmu yang setinggi-tingginya. Hasil daripada ilmu itu disumbangkan semula kepada masyarakat melalui berbagai-bagai pendekatan dan bidang.
MAIWP adalah kebanggaan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan yang melihat sendiri hasil daripada zakat yang disalurkan tahun demi tahun. Sedikit-sedikit, lama-lama bukan sahaja menjadi bukit tetapi juga dapat mengeluarkan ahli masyarakat yang kurang kemampuan daripada lingkarannya.
Tentu sahaja selain menyalurkan bantuan secara terus, pelaburan MAIWP mengubah keadaan masyarakat melalui penguasaan ilmu kehidupan dan agama. Generasi yang mendapat ilmu daripada perancangan MAIWP itu adalah pencetus kepada keluarga masing-masing untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan dan ketidakmampuan sebelumnya.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.