Berita

USIA Labuan platform kukuh silaturahim

KETUA Wanita USIA Labuan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mualaf pada Program Santunan Kasih Bersama Saudara Baru.
- Diterbit 24 November 2023 1:10 AM MYT

PENGANJURAN Program Santunan Kasih Bersama Saudara Baru yang dianjurkan oleh Wanita Pusat Dan Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Labuan, baru-baru ini dilihat sebagai platform mengukuhkan hubungan silaturahim di pulau itu.

Program yang disertai lebih 30 orang mualaf itu diserikan dengan palbagai program menarik antaranya sesi ceramah agama dan ramah mesra selain penyampaian bantuan wang tunai.

Salah seorang peserta, Imran Binjinturun, 43, berkata penganjuran tersebut memberinya peluang untuk mengenali agama Islam secara lebih mendalam dengan bantuan pertubuhan itu.

“Alhamdulillah sejak memeluk Islam pada 2015, saya sering dipanggil untuk mengikuti program seperti ini oleh USIA Labuan dan mereka amat mengalu-alukan kami untuk bersama-sama mengeratkan silaturahim.

“Selain itu, saya juga bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada USIA Labuan kerana dengan bantuan ini dapat meringankan beban kami,” katanya kepada Wilayahku.

Sementara itu, Nuratikah Abdullah, 38, pula menyifatkan penganjuran program tersebut merupakan satu usaha yang baik khususnya kepada golongan mualaf.

“Sebagai seorang mualaf, banyak ilmu agama yang kita boleh pelajari dan secara tidak langsung dapat memantapkan lagi akidah. Saya harap program seperti ini lebih kerap lagi diadakan pada masa akan datang,” ujarnya.

Menurut Ketua USIA Labuan, Mohd Ali Mohd Omar Bledram, ia merupakan salah satu aktiviti yang sentiasa dianjurkan bagi mendekati masyarakat khususnya golongan mualaf agar mereka bersama-sama dalam menegakkan syiar Islam.

“USIA Labuan memainkan peranan menegakkan syiar Islam di Labuan sejak ditubuhkan 30 tahun lalu dan bukan sahaja sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan agama tetapi institusi yang telah berjasa menyebarkan syiar Islam,” ujarnya berharap golongan yang berkenaan bersatu dalam menjayakan aktiviti dan program yang dianjurkan demi agama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas