USANITA Sdn Bhd (USANITA) bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memperkasakan ekonomi dalam kalangan usahawan wanita dan pelajar.
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan berkata, Usanita berhasrat untuk memperkasakan kebolehpasaran wanita dan pelajar dalam sektor keusahawan dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam industri.
“Program kolaborasi antara USANITA, UKM dan EWA Malaysia ini akan tertumpu pada Pembangunan dari sudut kemahiran, kebolehan, kreativiti serta inovasi.
“Ia merupakan perkara yang terkandung dalam aspek modal insan di samping aspek daya saing yang dilihat penting dalam kejayaan usahawan,” katanya.

Tambah Adzliana lagi, usahasama ini mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua belah pihak di mana modul gerak kerja dinaiktaraf dan dimasukkan di dalam akademi sebagai nilai tambah bagi peserta.
“Usanita akan mengadakan sesi boot camp edisi khas UKM di mana semua fakulti dan warga UKM terlibat dan kami akan turunkan agensi dan rakan strategik Usanita yang boleh mengadakan sesi perkongsian nanti,” jelasnya.

Menurutnya, dengan penglibatan dan usahasama UKM dan EWA, kolaborasi ini dapat menjadi semakin besar dan memanfaatkan lebih ramai orang terutamanya pelajar- pelajar UKM dan usahawan- usahawan yang menyertai EWA.
“Rakan- rakan strategik USANITA juga terdiri dalam kalangan selebriti malah yang turut hadir sama pada hari ini ialah Awal Ashaari akan sentiasa bersama USANITA untuk memberi buah pandangan yang terkini untuk kebaikan bersama kedua pihak, jadi kita harap program- program kita secara tidak langsung akan memberi dokongan kepada mereka dalam melonjakkan jualan, perniagaan dan cetusan idea yang kreatif dan inovatif dalam industri keusahawanan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat) Profesor Datuk Dr. Norazah Mohd Nordin, menzahirkan rasa gembira kerana dapat menjalinkan kerjasama bersama USANITA.
“Saya berharap usahasama ini akan membangunkan kemahiran pelajar ke arah yang lebih berkualiti tinggi dan mempunyai minda keusahawanan kelas pertama seterusnya menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran mereka khususnya dalam bidang keusahawanan.
“Bila kita bekerjasama dengan USANITA ini, kita harap minat mereka (para pelajar dan usahawan wanita EWA) akan terpupuk dan mereka akan lebih terdedah kepada peluang kerjaya dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, kerjasama USANITA dan UKM ini boleh menjadi platform yang sangat baik kepada pelajar bidang keusahawanan di mana kerjasama ini dapat menyumbang kepada Pembangunan negara bagi mencapai aspirasi menjadi negara keusahawanan unggul menjelang 2030.
Tambah Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Prof. Dr. Aini Aman, usahasama ini akan dimulakan dengan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan dikembangkan mengikut progress setiap peringkat.
“Untuk permulaan, program ini akan dimulakan dengan pelajar Fakulti Ekonomi dan Pengurusan , namun turut membuka peluang kepada pelajar di fakulti lain. Ia bukan sekadar belajar berniaga namun belajar dengan pakar dan bagaimana menjenama produk kerana selama ini kami mendidik pelajar menjadi usahawan. Kami berharap produk yang diusahakan pelajar UKM dapat dipromosikan dengan lebih baik selepas ini,” katanya.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diwakili Profesor Datuk Dr. Norazah Mohd Nordin , Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat) UKM dan Prof. Dr. Aini Aman, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan itu akan bertindak sebagai rangka kerja am bagi aktiviti-aktiviti dan program yang bakal dijalankan. – WILAYAHKU