TERUS melangkah dengan berani dalam perniagaan, Usanita Sdn Bhd menerusi Usanita Entertainment bakal memperkenalkan UTV, sebuah platform penstriman (OTT) baharu yang bakal menemui penonton tempatan dan serantau tidak lama lagi.
Dijangka dilancarkan secara rasmi hujung Mei ini, UTV hadir dengan tagline Stream For You, menawarkan pengalaman hiburan yang bersifat peribadi, inklusif dan menyentuh emosi, selari dengan identiti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.
UTV bukan sekadar sebuah platform penstriman biasa, malah ia diilhamkan sebagai ruang untuk meraikan suara autentik, kisah bermakna dan karya asli terutamanya dari bakat tempatan, termasuk memperkasakan penyertaan wanita dalam industri hiburan tanah air.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, UTV lahir daripada keinginan untuk menyediakan pentas digital yang memberi peluang kepada lebih ramai penggiat seni dan pembikin kandungan Malaysia untuk berkembang serta mengetengahkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.
“Idea penubuhan UTV ini tercetus kerana kami melihat ruang yang sangat besar dalam pasaran untuk kandungan tempatan yang berani, asli dan menyentuh hati.
“Kami percaya Malaysia kaya dengan bakat dan kisah yang mampu memberi inspirasi, bukan sahaja kepada penonton tempatan malah di peringkat serantau. Dengan UTV, kami ingin mencipta sebuah platform yang bukan sahaja menayangkan kandungan, tetapi juga mendidik, menyatukan dan memperkasakan suara rakyat Malaysia terutama golongan wanita agar mereka mendapat tempat yang sewajarnya dalam industri hiburan digital,” katanya.
UTV bakal menawarkan pelbagai kandungan premium termasuk drama bersiri tempatan, telefilem, filem asli, dokumentari, bual bicara, serta kandungan gaya hidup dan belia yang relevan dengan citarasa generasi digital hari ini.
Lebih istimewa, Usanita Entertainment juga melantik pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima sebagai Channel Advisor bagi memastikan kualiti setiap produksi UTV menepati standard terbaik dan berdaya saing.
Selain pengumuman mengenai UTV, Usanita Entertainment turut mengumumkan dua persembahan istimewa eksklusif di bawah kerjasama Usanita Entertainment x Mask Team yang bakal berlangsung di NERO Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).
Persembahan pertama bertajuk An Evening With Nadeera Zaini akan diadakan pada 30 Mei 2025 (Jumaat) manakala persembahan kedua, Hael Husaini Antonim Night dijadualkan pada 31 Mei 2025 (Sabtu).
Kedua-dua acara ini akan bermula dari jam 8:30 malam hingga 10:30 malam dan menjanjikan persembahan muzik yang penuh keistimewaan serta emosi bersama artis-artis tempatan berbakat besar.
Mengulas mengenai penganjuran dua persembahan istimewa ini, Datuk Adzliana berkata, Usanita Entertainment sentiasa komited untuk mendekatkan seni dan muzik tempatan dengan peminat.
“Persembahan eksklusif ini bukan sahaja menjadi platform buat artis menampilkan karya mereka dalam suasana lebih intim, malah ia juga sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokong industri hiburan tempatan.
“Kami percaya, Nadeera dan Hael akan memberikan pengalaman persembahan yang memukau dan penuh jiwa, sejajar dengan nilai yang kami pegang di Usanita Entertainment iaitu meraikan seni tempatan yang berkualiti tinggi,” katanya.
Dua pengumuman penting ini disampaikan dalam suasana penuh meriah di Majlis Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd yang diadakan di Grand Hyatt Kuala Lumpur hari ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti popular tanah air seperti Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Nora Danish, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Aina Abdul, Erma Fatima, Zoey Rahman, Datuk Rossa, Nadeera, Hael Husaini dan ramai lagi. – WILAYAHKU