Berita

Usahawan kecantikan kongsi rezeki

FAQIRAH (tengah) bersama sebahagian penerima bantuan CSR
- Diterbit 19 September 2024 6:14 PM MYT

MEMAHAMI situasi ekonomi yang mencabar, usahawan produk kecantikan Qayra Beauty, Noor Faqirah Abdullah tampil membantu mereka yang memerlukan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyalurkan bantuan kepada lebih 300 penerima diseluruh negara.

Menurut pengasasnya, bantuan yang diberikan terdiri daripada barangan asas seperti beras, gula dan susu selain keperluan kanak-kanak antaranya lampin pakai buang, susu dan sebagainya.

“Semestinya tumpuan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan untuk mengurangkan beban yang ditanggung. Pada mulanya kita menyasarkan bantuan kepada 300 orang tetapi yang datang lebih lagi sehingga mencecah 500 orang.

“Namun kita tetap tidak menghampakan mereka kerana faham situasi hari ini dan betapa bernilainya barangan asas untuk mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai,” ujarnya.

Tambah Faqirah program CSR kali ini merupakan anjuran kali kedua pihaknya dan menyasarkan untuk mengadakan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali dalam setahun.

“Kita turut berhasrat berkongsi rezeki menerusi sebahagian jualan produk Qayra Beauty dengan menyalurkannya kepada masyarakat, sekolah tahfiz dan sebagainya.

“Saya kira ini perkongsian yang baik untuk mengajak lebih ramai lagi di luar sana untuk membantu mereka yang susah. Dalam masa yang sama, kami juga membuka ruang kepada leader serta ejen-ejen Qayra Beauty untuk bersama-sama memberi sumbangan,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, beliau berkata memasuki tahun keenam menjalankan perniagaan produk kecantikan dan kesihatan, kini sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan berjaya menembusi pasaran Dubai dan Thailand.

“Alhamdulillah ini merupakan satu pencapaian membanggakan dan saya terharu dapat bergelar usahawan Bumiputera yang berjaya membawa produk ke luar negara. Insya-Allah saya percaya dengan kejayaan ini maka lebih banyak lagi kami boleh memberi kepada yang memerlukan,” ujarnya.

Sebagai rekod, produk terbaharunya, Herba Kurus Tradisi (HKT) habis terjual hanya dalam tempoh 12 jam. Selain itu, jualan pada tahun 2022 mencecah RM21 juta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas