ISU pelakon muda hidup mewah kerana ditaja oleh ‘mak datin’ bukanlah sesuatu yang baharu. Demi kemewahan hidup, mereka sanggup melakukan apa sahaja.
Terbaharu, pelakon Shah Radhi Hazvee tidak terkecuali didakwa kononnya hidup mewah meskipun dirinya bukanlah sebaris pelakon lelaki popular yang lain.
Lebih membuatkan Shah Radhi kecewa apabila usahanya membuka francais Restoran Ngam Ngam di IOI Mall, Putrajaya dikatakan mendapat tajaan.
“Dalam dunia ini semua perkara (bisnes) memerlukan modal besar. Nak hidup pun kena ada duit, tapi saya sudah lama merancang untuk buka restoran ini.
“Cuma peluang dan masa untuk saya sebelum ini tiada. Saya yakin kepada Allah yang menentukan rezeki hamba-hambaNya. Ditambah pula dengan doa ibu yang sentiasa mengiringi kehidupan saya.
“Pasal ‘mak datin’, iya ada yang fikir saya ditaja. Namun demi Allah saya bukan begitu. Saya buka restoran dengan usaha sendiri dan bukannya ditaja siapa-siapa,” ujarnya.
Tambahnya sepanjang terlibat dalam perniagaan, ramai yang meminjam duit daripadanya sehingga pernah kerugian besar mencecah jutaan ringgit.
Shah juga menjelaskan dia berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang bisnes. Itu yang membuatkan dirinya turut aktif dalam perniagaan.
“Selepas tamat sekolah menengah dulu, saya pernah berniaga burger bakar. Kemudian tutup sebab tiada kakitangan. Selepas itu barulah saya ceburi bidang lakonan.
“Dalam membina nama, saya cabar diri untuk tetap meneruskan bisnes. Kekuatan saya sebenarnya adalah daripada pengalaman pahit di mana pernah ada orang yang memandang rendah kepada saya,” ujarnya yang turut memberi sumbangan kepada artis veteran sempena pembukaan Restoran Ngam Ngam miliknya baru-baru ini.
Antara artis veteran yang hadir S. Mariam, Datin Fadilah Mansor, Delimawati, Chef Yang Jamil, Sophia Ibrahim, Norlia Ghani dan Mak Wan Latah. – WILAYAHKU