

PENDEKATAN proaktif diterap oleh Puteri Umno Bahagian Cheras, dengan mengenal pasti penaja berkemampuan memberikan sumbangan untuk disalur kepada kelompok rakyat memerlukan.
Langkah tersebut kata Ketuanya, Linda Ghazali diambil bagi membolehkan penduduk B40 serba memerlukan dibantu seterusnya ringankan beban belanja terpaksa ditanggung mereka khususnya sejak berdepan penularan pendamik COVID-19.
Beliau berkata, menerusi kaedah yang diaplikasi, ada dalam kalangan penyumbang yang berminat membantu, namun berdepan kekangan setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa selain tidak mempunyai mekanisme untuk menyalurkannya.
Jadi katanya, Puteri Umno Bahagian Cheras yang bekerjasama dengan Kelab Perintis Muda Kreatif (KPMK) mengambil pendekatan tampil ke depan mendapatkan penaja yang berminat untuk bantu golongan rakyat memerlukan selain menyantuni petugas barisan hadapan.
“Alhamdullilah, bantuan barang keperluan harian beras, gula, garam, minyak masak, kicap, sos dan lain-lain meliputi 12 jenis produk semuanya hasil keprihatinan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk membantu warga memerlukan di kawasan ini.
“Sejumlah 100 kotak sumbangan diberi kepada kami selaku perantara untuk diagihkan kepada 80 penduduk yang layak dibantu selain 20 kotak lagi disalur untuk anggota polis dan pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di Pusat Rekreasi Cheras, semalam.
Pada majlis tersebut, 80 penerima bantuan yang terpilih dikehendaki hadir ke lokasi secara bergilir dan mematuhi SOP ditetapkan untuk mengambil barang sumbangan yang telah tersedia.
Sementara itu, sesi serahan sumbangan kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, disampaikan kepada wakilnya, Inspektor Noorsuhana Shamsudin untuk diagihkan kepada petugas yang layak.
Manakala Balai Bomba dan Penyelamat Jln Hang Tuah, diserah kepada Pegawai Bomba Kanan II, Khairup Anuar Hashim, yang menzahirkan terima kasih kepada penaja PPZ-MAIWP dan juga Puteri Umno Bahagian Cheras atas usaha proaktif yang diambil bagi membantu sekadar termampu. – SYAHIDI BAKAR -WILAYAHKU