Berita

Usaha menoktahkan miskin bandar

ZALIHA (tengah) ketika melancarkan Projek Dapur Digital yang merupakan antara program di bawah Program PUJI.
- Diterbit 6 Mac 2025 12:52 PM MYT

PROGRAM Usaha Jaya Insan (PUJI) di bawah inisiatif Upaya@PUJI, yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam menangani kemiskinan bandar melalui pendekatan holistik.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Mujaheed Hassan berkata, program ini memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan, pembangunan keusahawanan, perlindungan sosial, pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur asas untuk meningkatkan keupayaan komuniti yang terdedah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

MUJAHEED

“Keberkesanan Upaya@PUJI dalam menangani punca kemiskinan bandar dapat dilihat melalui pendekatan ‘exit strategy’ yang dirancang untuk mengeluarkan peserta daripada kemiskinan tegar secara tuntas menerusi beberapa penunjuk iaitu peningkatan pendapatan peserta yang sehingga September 2024, 30% peserta di Labuan berjaya mencapai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan.

“Daripada 100 peserta yang layak melalui senarai eKasih, hampir 75% berjaya menambah dan menjana pendapatan baharu, menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Menjelas lanjut, Muhamad Mujaheed berkata, antara penunjuk adalah program tersebut berjaya mengurangkan kemiskinan tegas menerusi data pada April 2024, seramai 224 Ketua Isi Rumah (KIR) di Labuan, iaitu 63.46% daripada 353 peserta Program Pembasmian Miskin Tegar yang dimulakan pada Disember 2023 telah berjaya keluar daripada situasi tersebut.

“Kejayaan ini menunjukkan bahawa pendekatan holistik dan kerjasama antara agensi Upaya@PUJI berkesan dalam meningkatkan taraf hidup komuniti miskin bandar di Wilayah Persekutuan.

“Namun, terdapat beberapa cabaran utama dalam pelaksanaan inisiatif ini seperti masalah kos sara hidup yang tinggi, akses kepada pendidikan berkualiti, kerjasama antara agensi dan pemantauan dan penilaian terhadap program yang dilaksanakan,” katanya.

Menurut Muhamad Mujaheed, untuk memastikan inisiatif ini bukan sekadar mekanisme bantuan kewangan jangka pendek, ia mestilah mampu mewujudkan mobiliti sosio-ekonomi jangka panjang bagi golongan miskin bandar menerusi beberapa pendekatan yang boleh dilaksanakan.

“Pendekatan berasaskan pembangunan kapasiti yang menekankan latihan kemahiran, keusahawanan dan peningkatan daya saing tenaga kerja. Selain itu, model ‘exit strategy’ yang jelas daripada bergantung kepada bantuan kewangan berkala yang membawa mereka ke tahap keupayaan kendiri.

“Kerajaan juga perlu menerapkan pembangunan ekosistem keusahawanan bagi memastikan golongan miskin bandar mempunyai akses kepada pinjaman mikro, bimbingan perniagaan dan rangkaian pasaran. Selanjutnya, intervensi berasaskan komuniti dalam membantu kumpulan sasar membangun secara kolektif, menyediakan akses kepada perumahan dan infrastruktur mampan dan pemantauan serta penyesuaian polisi secara berterusan bagi menilai impak program ke atas mobiliti sosial penerima manfaat,” katanya.

Beliau berkata, untuk menilai kesan sebenar Upaya@PUJI ke atas komuniti miskin bandar, gabungan penunjuk kuantitatif dan kualitatif harus digunakan dan program tersebut perlu disesuaikan berdasarkan data dan maklum balas peserta bagi memastikan keberkesanannya dalam meningkatkan mobiliti sosio-ekonomi.

“Penunjuk ini mengukur perubahan secara statistik dan boleh dibandingkan dalam tempoh tertentu menerusi kesejahteraan ekonomi dan pekerjaan iaitu perbandingan pendapatan isi rumah sebelum dan selepas program, kadar kestabilan pekerjaan dan bilangan peserta yang naik taraf daripada pekerjaan bergaji rendah kepada pekerjaan lebih berkemahiran dan bergaji tinggi.

“Selain itu, bagi program keusahawanan dan akses kepada modal untuk melihat jumlah peserta yang berjaya memulakan perniagaan selepas menerima sokongan modal dan latihan serta peratusan perniagaan yang masih beroperasi selepas satu hingga tiga tahun termasuklah kategori pendidikan dan latihan kemahiran serta taraf hidup dan akses kepada kemudahan asas,” katanya.

Muhamad Mujaheed berkata, kerjasama Upaya@PUJI dengan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan lain-lain dapat memperkukuhkan impak program terhadap masyarakat.

“Penyelarasan antara agensi sangat penting kerana setiap agensi mempunyai program tersendiri yang mungkin bertindih atau tidak selari dengan objektif utama Upaya@PUJI.

“Kesan kerjasama dengan agensi tersebut mampu meningkatkan akses kepada bantuan dan perkhidmatan serta gabungan kepakaran dan sumber, setiap agensi dapat menyokong Upaya@PUJI dengan lebih menyeluruh serta dapat menyediakan sokongan berterusan untuk keluar daripada kemiskinan.

“Ia juga dapat mengelakkan pertindihan program dan pembaziran sumber kerana sesetengah peserta mungkin mendapat bantuan yang sama dari pelbagai agensi, manakala yang lain tidak mendapat apa-apa,” katanya.

Dalam hal ini, ujarnya pangkalan data bersepadu antara agensi perlu digunakan bagi menyelaraskan penerima bantuan dan mengenal pasti jurang dalam pemberian bantuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas