Berita

Usaha bersepadu tangani gelandangan

Gambar hiasan
- Diterbit 23 Januari 2025 3:14 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memerlukan pendekatan bersepadu melibatkan semua pihak termasuk pertubuhan antarabangsa dalam menangani masalah gelandangan di ibu kota.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, kebanyakan gelandangan yang diselamatkan merupakan warganegara yang mempunyai masalah kesihatan serta warga asing yang menjadi pelarian serta mangsa penipuan.

“Menerusi operasi menyelamatkan gelandangan yang dilaksanakan DBKL, ramai dalam kalangan warga asing dan pelarian yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta penghidap penyakit mental dan masalah ketagihan.

“Apabila DBKL menjalankan operasi ke atas gelandangan, mereka melakukannya bersama-sama dengan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977, kerana DBKL tidak mempunyai akta khusus untuk operasi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Program Temu Rapat Dr Zaliha Bersama Persatuan, Wakil Masyarakat, Organisasi & Warga Emas di Institut Latihan DBKL di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas beliau, pihak berkuasa akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan imej Kuala Lumpur menjelang dua acara besar, Tahun Kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Walaupun mustahil untuk mencapai sifar gelandangan di bandar raya, kami cuba mencari kaedah dan pendekatan untuk mengatasi masalah gelandangan ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas