Agama

Usah pukul rata hanya kerana seorang dua buat hal

LAZIMNYA individu yang menyertai tabligh mengalami perubahan ke arah kebaikan bagaimanapun masih terdapat kelompok kecil yang mungkin sebaliknya. - Gambar hiasan
- Diterbit 19 Ogos 2024 5:09 PM MYT

JEMAAH tabligh merupakan gerakan mubaligh Islam yang bertujuan untuk mengajak manusia kembali ke ajaran Islam yang menyeluruh dan ia bukan merupakan sebuah kelompok ikatan (persatuan), tetapi adalah gerakan dakwah untuk mengajak Muslim menjalani agamanya dalam kehidupan dan hanya satu-satunya gerakan Islam yang tidak memandang asal-usul mazhab atau aliran pengikutnya.

Meskipun ia merupakan satu aktiviti yang menuju ke arah kebaikan, bagaimanapun ramai yang memandang ringan bahawa mereka tetap harus melaksanakan tanggungjawab lain yang utama terutama buat ahli keluarga yang ditinggalkan.

Menurut Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS), Ahmad Atoa Mokhtar, sebagaimana kita tahu bahawa menuntut dan menyampaikan ilmu adalah satu kewajipan, begitu juga dengan menunaikan nafkah.

“Apatah lagi meninggalkan anak, isteri dan keluarga dalam suatu tempoh yang lama maka persediaan yang sewajarnya perlu dilakukan seperti memastikan tempat tinggal anak, isteri dan keluarga dalam keadaan selamat serta terjaga keselamatannya, makan minum yang mencukupi dan juga memastikan perasaan kasih sayang sentiasa terhubung walaupun batas jarak yang jauh dan masa yang lama tetapi kasih sayang dan kerinduan itu tetap berhubung antara satu sama lain,” ujarnya kepada Wilayahku.

Ahmad Atoa berkata antara kebaikan menyertai jemaah tabligh adalah ia merupakan satu sudut gerak kerja dakwah amar makruf nahi mungkar yang juga membuatkan seseorang individu itu belajar untuk mengorbankan harta dan masa untuk agama serta dapat belajar memperbaharui iman.

“Lazimnya individu yang menyertai tabligh akan mengalami perubahan ke arah kebaikan setelah mengikuti jemaah tersebut dalam satu tempoh tertentu, bagaimanapun Ahmad Atoa berkata tidak dinafikan masih terdapat kelompok kecil yang mungkin berlaku sebaliknya.

“Untuk menjawab mengenai isu tersebut ia berbalik kepada niat dan usaha individu tersebut dalam proses ta’lim dan tarbiyah. Apa pun hidayah itu milik Allah dan janganlah kerana hanya segelintir kelompok itu, kita memukul rata bahawa semua jemaah tabligh akan berkelakuan sama kerana masih ramai yang berpegang teguh dengan ajaran Islam,” ujarnya.

Mengulas tentang berita yang tular melibatkan dua wanita yang mendedahkan diri mereka dianiaya oleh bekas suami yang juga merupakan salah seorang jemaah tabligh, Ahmad Atoa berkata tidak dinafikan akhir-akhir ini cerita orang agama sentiasa menjadi perhatian media.

“Tambahan pula dengan perkembangan teknologi di mana semua berita atau video disebarkan dengan cepat dan orang ramai dapat membuat kesimpulan sendiri tanpa mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua belah pihak.

“Tatkala menyaksikan ujian orang lain yang melibatkan keaiban dirinya, kita sepatutnya memohon keampunan kepada Allah SWT agar Dia mengampuni serta menutup keaiban diri. Rasulullah SAW antara lain mengajar doa yang maksudnya: Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. (Hadis Riwayat Ahmad)

“Pada masa sama, setiap diri yang melihat ujian orang lain perlu mengambil pengajaran daripadanya agar tidak terjebak dalam ujian yang sama.

“Apa yang saya boleh tekankan adalah berbuat baik kepada isteri itu perintah Allah dan Rasul, wajib untuk kita yang beriman menurut perintah tersebut. Jemaah atau tidak jemaah, yang pasti kita semua tiada jaminan terhindar daripada salah dan silap termasuk orang agamawan.

“Yang halal itu jelas, yang haram itu juga jelas. Apa pun kita mohon kepada Allah supaya agama tidak menjadi bahan fitnah daripada orang Muslim itu sendiri. Kesilapan hari ini mungkin berlaku pada orang lain, kita tidak tahu esok lusa giliran kita pula diuji oleh Allah. Jika benar apa yang dilakukan semoga Allah mengampunkan dosanya dan kita minta petunjuk hidayah Allah agar kita terhindar daripada perbuatan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya lagi, walau bagaimanapun tindakan sang isteri untuk mendedahkan aib bekas suaminya itu adalah tidak betul sama sekali walau apa pun alasannya.

“Sangat tidak wajar pengaduan tersebut dibuat di khalayak ramai kerana ia sudah dikira sebagai membuka aib. Dalam Islam tidak dibenarkan kita membuka aib suami atau isteri mahupun sesiapa sahaja.

“Dalam kes seperti ini semestinya pengaduan hanya kepada pihak yang berwajib sahaja agar dapat diselesaikan secara baik akan tetapi sudah menjadi lumrah warganet untuk berkongsi semua perkara di laman sosial di mana ini merupakan trend yang tidak mematuhi syarak,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas