SEMUA pihak dilarang untuk menyentuh isu berkait 3R (agama, kaum dan raja) bagi meraih undi dalam pilihan raya kerana ia adalah isu sensitif yang cukup menyentuh perasaan pengundi lebih-lebih lagi ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

Bercakap mengenai perkara itu, Peguam, Dr Zulqarnain Lukman berkata isu tersebut sangat melekat kepada mereka yang baru menjadi pengundi dan belum menggunakan pertimbangan dengan sewajarnya.
“Pengundi akan marah kepada satu pihak yang lain dan akhirnya memberi undi kepada mereka. Begitu juga, isu ini akan termakan kepada pengundi luar bandar yang mungkin tidak terdedah dengan suasana masyarakat majmuk dan hanya hidup dalam kalangan satu bangsa sahaja.
“Oleh kerana itulah pihak pembangkang nampak sangat galak memainkan isu 3R ini meskipun telah dilarang oleh pihak polis khususnya bagi PRN 2023 kerana mereka tahu isu ini cukup berpengaruh.
“Sebagai contoh, kita hidup sebagai satu masyarakat majmuk perlu ada toleransi kaum dan budaya yang mana perlu saling percaya dan mempercayai. Kita telah melihat kesan peristiwa 13 Mei 1969 apabila diuar-uarkan bangsa Cina telah menguasai Semenanjung yang akhirnya menyebabkan berlakunya pertempuran antara kaum.
“Begitu juga, hal agama adalah hal sensitif selain hal berkaitan raja-raja juga tidak boleh disentuh kerana raja-raja adalah berkecuali daripada politik. Raja adalah payung bagi seluruh rakyat dan bukan untuk parti-parti tertentu,” ujar beliau kepada Wilayahku.
Tambah beliau, bagi mengatasi hal itu, pihak berkuasa perlu tegas untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang ada untuk mengelakkan daripada isu tersebut dimanipulasikan.
“Maksud bertegas ini adalah pihak berkuasa seperti pihak polis perlu segera menangkap pihak yang memainkan isu ini dan menahan reman mereka bagi membuat siasatan. Masyarakat yang tidak matang tidak tahu bahawa kata-kata mereka itu akan mencetuskan masalah perkauman.
“Dalam masa yang sama, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu bertindak pantas untuk menurunkan apa-apa status di media sosial yang membangkitkan isu ini dan menyekat pemilik media sosial daripada membuat hantaran lain.
“Selain itu, pihak Peguam Negara juga perlu segera mendakwa mereka yang terlibat untuk menjadi pengajaran selain pihak mahkamah perlu mengutamakan perbicaraan kes seperti ini. Jika terbukti, perlu mengenakan hukuman yang berat ke atas pesalah bagi menjadi satu pengajaran yang disebut sebagai hukuman deteren, iaitu hukuman yang akan mencegah orang lain daripada meniru perbuatan yang sama,” tegas beliau.
Kata beliau lagi, sudah sampai waktunya kerajaan memperkenalkan satu akta yang mencegah perbuatan untuk mengapi-apikan perkauman, bangsa, agama dan raja-raja di mana akta seperti itu dikenali sebagai Akta Anti Kebencian Tutur Kata (Anti Hate Speech Law).
Terdahulu, akta berkaitan 3R adalah Akta Hasutan 1948 yang mencegah perbuatan untuk melakukan kecenderungan menghasut untuk membangkitkan perasaan kebencian kepada raja, institusi kehakiman, kerajaan dan lain-lain selain Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan membuat hantaran jelek di media sosial. – WILAYAHKU