UMAT Islam di negara ini diingatkan supaya tidak terjerumus dengan pemikiran khawarij dan mengeluarkan kenyataan mengajak rakyat untuk menjatuhkan kerajaan.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berpandangan pemikiran khawarij baharu ialah menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan sebagai zalim.
“Kenyataan seperti itu dianggap sebagai kontroversi dari sudut pandangan individu tersebut.
“Bagaimanapun sebenarnya sebuah kerajaan yang tidak ada buat apa-apa percanggahan, sebagai rakyat tidak boleh membuat kenyataan khawarij,” ujar beliau.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mendedahkan gelombang pemikiran khawarij dan takfiri di negara ini kini berada pada tahap membimbangkan.
Dalam pada itu, Syeikh Fadzil berkata walaupun individu bukan penjawat awam tidak terikat dengan kerajaan, tetapi tidak bermakna boleh mengajak rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dengan pemikiran khawarij.
Beliau berkata walaupun penceramah bebas boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan tetapi mestilah mempunyai etika.
“Kita tidak ada peruntukan untuk kenakan apa-apa tindakan seperti mana jika seseorang itu penceramah adalah penjawat awam. Dia ada etika.
“Tetapi sebagai seorang penceramah pendakwah atau penceramah bebas mestilah mematuhi adab-adab sebagai penceramah atau pendakwah. Itu yang terbaik,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak terjerumus dengan pemikiran khawarij.
Azam berkata sebaliknya hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dari segi akidah, syariah dan akhlak.
Beliau berkata pemikiran khawarij baharu ialah menjatuhkan mana-mana pemerintah yang dilabelkan sebagai zalim manakala takfiri pula merujuk kepada tuduhan mengkafirkan orang lain dengan mudah.
Beliau berkata golongan ghuluw iaitu keterlaluan atau melampau menerapkan kefahaman ekstrem dalam memahami serta mengambil sesuatu tindakan dan ghuluw dalam beragama adalah sikap melampau batas dalam perintah agama. – WILAYAHKU