PEMPENGARUH khususnya generasi muda dinasihatkan berhati-hati agar tidak menghasilkan kandungan toksik.
Pengerusi All Star Influencer (ASIA), Datuk Abd Rahman Soltan berkata, kecenderungan menghasilkan kandungan sedemikian akan memberi impak buruk kepada nama baik dan status pempengaruh itu sendiri.
“Mereka sepatutnya menggunakan populariti untuk mengajak masyarakat ke arah lebih positif dan memberi teladan baik kepada umum.
“Pempengaruh di bawah komuniti ASIA sentiasa dinasihatkan untuk tidak menghasilkan kandungan toksik.
“Kandungan itu mungkin lawak, tetapi bila adanya ‘haters’ mereka mungkin tidak dapat kawal situasi itu.
“Kami sentiasa terapkan nilai positif serta memberi peluang kepada pempengaruh untuk turut serta dalam pelbagai program kemasyarakatan anjuran ASIA,” katanya kepada pemberita.
Ujar Abd Rahman lagi, ini penting agar mereka sedar pengaruh dan kepentingan mereka kepada pengikut.
“Apa yang ditunjukkan di media sosial akan menjadi ikutan. Jadi pempengaruh harus tunjuk contoh yang baik, pegang prinsip persefahaman antara satu sama lain untuk eratkan hubungan bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penglibatan pempengaruh dalam dunia perniagaan sebagai langkah awal untuk meneruskan kelangsungan hidup pada masa akan datang.
“Jangan bergantung harap kepada ulasan produk semata-mata. Satu masa nanti, lebih ramai pempengaruh muda akan hadir. Jadi siap sedia dengan peracangan masa depan yang lebih tersusun.
“Sebab itu kami memberi bimbingan dan sokongan kepada mana-mana pempengaruh yang mahu menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Sekurang-kurangnya mereka sudah ada perancangan,” katanya.-WILAYAHKU